1
Manusia berhak membuat pilihan. Aku juga ada hak untuk membuat pilihan aku sendiri. Aku percaya setiap keputusan yang diambil dalam kehidupan seseorang ada kaitan dengan pilihan yang ada. Setiap pilihan pula berlandaskan kepercayaan dan prinsip kehidupan seseorang. Hari ini aku sudah membuat pilihan yang mungkin akan mengubah kehidupan aku pada masa yang akan datang. Apa-apa pun keputusan yang aku buat adalah muktamad. Kalau diberi pilihan utnuk kembali ke masa lampau, aku masih memilih untuk membuta pilihan dan keputusan yangs ama.
Kadangkala panas terik di Kuala Lumpur memang di luar jangkaan. Mungkin cuaca hari ini juga seperti tidak mengizinkan aku dengan keputusanku. Aku berjalan dengan pantas. Tidak sedikit pun melihat ke kiri atau ke kanan. Aku menuju ke satu destinasi. Matlamat aku ialah untuk sampai ke Stesen LRT Masjid Jamek dengan kadar yang segera. Aku gunakan pas bulanan yang masih lagi tinggal setengah bulan untuk digunakan bila sampai di mesin imbasan yang akan membenarkan aku masuk ke dalam ruang LRT. Nasib aku agak baik kerana bila sahaja aku melangkah turun, LRT baru sahaja tiba. Walaupun waktu bekerja masih belum tamat di pusat bandaraya itu, LRT empat gerabak itu sudah tiada tempat untuk aku duduk. Pilihan aku hanya berdiri sahaja di hadapan pintu dan melihat perlahan pintu LRT tutup.
Akhirnya aku menarik dan menghela nafas dengan panjang. Mungkin lebih dari seminit aku tarik dan hela nafas. Ok! Aku cuba menenangkan diri aku sendiri. Tidak boleh ada sebarang sesalan. Semuanya tentang pilihan. Keputusan yang aku buat memang betul. Entah kenapa kata-kata rakan sepejabat tentang keputusan untuk berhenti kerja masih berlegar-legar di ruang kepalaku. Kebanyakan pendapat menyatakan aku tidak berfikir panjang. Sekarang bukan senang untuk mendapat kerja. Kalau sudah bekerja di sebuah bank yang terkemuka di Malaysia, semua pintu akan terbuka. Aku akan menyesal kalau berhenti sekarang. Macam-macam lagilah pandangan yang mereka berikan. Sampai naik pening juga aku memikirkannya.
Namun begitu, bukan sehari dua aku fikir untuk berhenti kerja. Aku ingat-ingat hampir tiga bulan lamanya aku berfikir sehinggakan badan aku yang agak berisi pun dah jadi kurus kering. Terlalu sangat memikirkan tentang hal untuk berhenti kerja. Aku sudah bekerja selama hampir dua tahun. Selama waktu itu juga aku berjimat cermat menyimpan duit. Aku lakukan demikian semata-mata kerana Nizam. Aku menyimpan untuk hari bahagia kami suatu hari nanti. Hari yang amat aku dambakan seperti mana-mana gadis di mana aku akan akhiri zaman bujang dan berkahwin dengan jejaka idamanku. Namun, mimpi aku hanya suatu angan-angan sahaja. Jodoh aku dan Nizam tamat tiga bulan yang lalu.
Siapa sangka cinta yang disemai selama hampir tiga tahun lebih tinggal separuh jalan sahaja. Kami mula berpasangan sejak di tahun akhir kolej lagi. Selepas tamat kolej, kami bersama-sama membuat keputusan mencari kerja di Kuala Lumpur. Hanya ada dua sebab sahaja. Pertama, aku dari Negeri Sembilan dan Nizam pula orang Perak. Kuala Lumpur adalah tempat yang sesuai untuk kami bersama. Sebab kedua pula ialah kerana Kuala Lumpur ada peluang kerja lebih banyak jadi mudah untuk kami mendapat kerja. Entah berapa banyak surat permohonan kerja yang kami hantar dan ada beberapa seminar pekerjaan yang kami hadiri. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Kedua-dua kami mendapat tawaran kerja di sebuah bank yang sama . Nizam yang dapat kerja dahulu. Aku menyusul beberapa bulan selepasnya. Aku di bahagian IT dan Nizam di bahagian Sales.
Hidup aku sungguh bahagia. Dapat bekerja dengan buah hati walaupun aku di tingkat 3 dan dia di tingkat 16. Beza tinggi bangunan itu bukan halangan untuk aku berjumpa dengan Nizam setiap pagi, tengahari dan petang selepas kerja. Masuk tahun kedua, Nizam mula sibuk sehinggakan selepas waktu bekerja pun aku agak sukar untuk berjumpa dengannya. Sekali sekala, bila kami keluar di hujung minggu, aku perasan Nizam sudah tidak macam Nizam yang dahulu. Yang biasa bergelak ketawa dengan aku. Bila aku tanya kalau dia ada masalah, dia kata dia stress dengan kerja. Bila aku tunjuk minat dan tanya kalau ada yang aku boleh bantu, dia naik angin. Sejak itu aku tak berani nak tanya apa-apa pasal kerja. Maklumlah, baru dua tahun bekerja, dia sudah menjadi pemangku pengurus di bahagiannya. Ada peluang besar untuk jadi pengurus dengan cepat. Aku tumpang bangga. Nizam bukan calang-calang orangnya. Aku bangga sebab otak dia memang bagus dan paras rupa pun boleh tahan juga. Masa di kolej dahulu, ramai juga yang agak cemburu padaku sebab dapat sambar Nizam untuk jadi pakwe.
Ketika harijadinya yang ke 26, aku hadiahkan dia sejambak bunga. Aku tempah melalui Internet dan hantar ke pejabat. Bila aku telefon untuk ucapkan selamat harijadi, dia langsung tidak melayan aku. Aku sangkakan dia sibuk jadi aku menelefon kemudiannya untuk mengajak dia keluar makan., tetapi panggilanku tidak dilayan. Aku malas nak terjah tingkat tiga. Aku biar sahaja. Bila jam hampir 5:30 aku pun cuba lagi. Sama sahaja. Panggilan aku tidak dilayan walaupun ada nada dering. Aku cuba telefon mejanya. Selepas beberapa deringan, panggilan dijawab. Bukan Nizam yang menjawab. Salah seorang rakan kerja yang kebetulan lalu di situ. Katanya, Nizam baharu sahaja keluar untuk balik.
Aku tutup telefon bimbit dan bergegas keluar untuk cuba mengejar Nizam. Aku harap sangat aku dapat jumpa Nizam. Sememangnya lif agak sibuk. Aku tidak membuang masa lalu menuruni anak tangga sehingga ke aras bawah. Aku tahu di mana dia selalu parkir keretanya. Aku tidak membuang masa lalu terus ke situ.
Aku nampak kelibat Nizam berjalan menuju ke arah parkir kereta berbayar yang berada di antara bangunan bank dan beberapa buah bangunan lagi. Tangan kirinya memegang jambak bunga mawar dua belas kuntum yang aku belikan. Aku tersengih sendirian. Kali ini aku berbelanja sedikit untuk mengambil perhatian lelaki yang aku sayangi. Aku mampu tersenyum walaupun hanya melihat susuk tubuhnya. Kekasih aku kini sudah pandai bergaya. Malah stail rambutnya pun sudah berubah dari gaya yang biasa ke ala-ala rambut David Bechkam. Aku mengekorinya dari jauh supaya kehadiranku tidak dia sedari. Aku lihat Nizam sedang sibuk dengan telefon bimbitnya. Mungkin urusan kerja masih belum selesai. Tunggulah. Aku mahu buat kejutan bila tiba di kereta Satrianya nanti. Tiba-tiba haluan Nizam berubah sedikit.
Rupa-rupanya aku yang terkejut besar.
Aku nampak Nizam melambai ke arah seseorang. Mataku mencari arah lambaian.
Aku nampak seorang perempuan seperti membalas lambaian Nizam. Senyumanku hilang tiba-tiba. Langkahku terus terhenti. Kakiku seperti berat untuk meneruskan perjalanan.
Aku melihat dari jauh. Nizam menghampiri perempuan itu. Wajah perempuan itu nampak sungguh gembira. Tangan Nizam membelai dan membetulkan rambut perempuan itu yang ditiup angin. Jambak bunag pemberianku bertukar tangan. Perempuan itu semakin gembira melihat jambakan bunga mawar itu. Kemudian tangan Nizam mencapai tangan perempuan itu. Mereka berjalan beriringan sambil berbual dan bergelak ketawa. Seolah-olah tiada sesiapa yang mengganggu saat-saat bahagia mereka berdua. Seolah-olah mereka sedang asyik bercinta. Nizam dan perempuan itu mungkin tidak nampak aku yang sedang berdiri memerhatikan gelagat mereka sehingga mereka hilang dari pandangan aku.
Mungkin aku terpacak agak lama juga. Mungkin aku terlalu terkejut. Otakku seperti lembab untuk membantu aku untuk meneruskan langkah dan pergi dari situ. Mungkin otakku juga terkejut sehinggakan tidak boleh berfikir. Terkejut kerana melihat Nizam ada perempuan lain. Terkejut dan juga sakit hati kerana bunga yang kuberi dijadikan hadiah untuk memikat perempuan lain.
Nadia. Perempuan yang bernama Nadia itu bukan sebarangan orangnya. Cantik, pandai bergaya dan juga lulusan luar negara. Bukan sekadar kenal begitu sahaja. Luar, dalam tentang Nadia pun aku tahu. Nad ialah panggilan aku kepadanya. Dia salah seorang daripada tiga sahabat baikku. Bagaimana hal ini boleh berlaku pun aku pun tak faham. Nadia tahu Nizam miliku tetapi kenapa dia sanggup buat begini padaku. Malah, kami empat bersahabat pernah berjanji tidak akan mengambil cinta atau pun bekas cinta sahabat sendiri. Sejak bila pula mereka bersama dan apa pula salah aku pada Nizam? Patutlah sejak akhir-akhir ini dia dingin sahaja. Rupa-rupanya aku mengganggu cinta baru dalam hidupnya.
Puas aku memerah otak di tengah-tengah jalan. Kakiku melangkah dan tanpa aku sedar aku sudah kembali ke dalam menara bank tempat aku bekerja. Aku keluarkan pas kerjaku. Aku lepasi lif dan membuka pintu ke tangga. Aku naiki semula sehingga aku masuk ke pejabatku dan ke mejaku. Masih ramai lagi rakan setugas yang masih meneruskan kerja. Aku duduk di tempat dudukku. Mataku tertumpu kepada mejaku yang berselerak. Aku tidak sempat mengemas tadi kerana hendak mengejar Nizam. Aku mual mengemas. Sambil itu, aku ingat pesan arwah Tok Mak – semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah, kalau berlaku musibah dalam hidup, hadapilah dengan penuh berani. Adakah putus cinta juga satu musibah? Aku duduk di dalam pejabat sehinggalah aku perasan sudah masuk waktu untuk fardu Maghrib. Sejak dari saat itu, aku buat suatu keputusan.
Aku tersentak dek LRT berhenti dengan mengejut. Aku tinjau melalui tingkap kaca unutk melihat di mana hentian sekarang. Aku akan tiba ke destinasi aku selepas dua lagi hentian. Sejak pertembungan yang tidak disangka itu, aku langsung tidak menghubungi Nizam. Aku juga tidak beri respon apabila Nizam pula menghubungi aku, itupun selepas aku rasa dia perasan bahawa sudah beberapa hari aku tidak menelefon atau berjumpa dengannya. Ada sekali dua dia cuba jumpa aku di pejabatku tapi aku pura-pura ada mesyuarat. Sebenarnya aku berkurung di tandas wanita sehingga aku pasti dia sudah beredar.
Setiap kali aku ingat Nizam atau Nadia, hati aku seperti kena robek dengan benda tajam. Kadangkala aku sukar bernafas. Aku ingatkan penyakit asma aku sudah kembali. Sebenarnya, aku banyak sangat berfikir sehinggakan mengganggu tumpuan pernafasanku. Mana tidaknya. Inilah kali ketiga aku bercinta. Aku harapkan cinta itu akan kekal, tetapi manalah aku tahu cinta aku itu dirampas orang lain. Sebenarnya bukan orang lain pun, sahabat aku sendiri. Sahabat yang paling rapat dengan aku iaitu Nadia. Aku sayang Nadia sama macam aku sayang sababat aku yang lain dan kakak-kakak aku. Sampai hati Nadia buat aku begini. Sampai hati Nizam buat aku begini.
akak, ni sambungan citer jia jgk ke?
ReplyDeleteBukan sayang...ini cerita #3. Ada tiga cerita berlainan semuanya di sini ..Jia, Plan C dan Su Honey...akak akan upload from time to time...
ReplyDelete