Wednesday, 30 November 2011

Jia - 11

Rosmah menyudahkan buku ringkasan untuk mengajar esok. Rosmah bangga menjadi seorang guru. Tambahan pula, sebagai guru Bahasa Inggeris, dia mahu mendidik anak-anak didiknya sebaik mungkin mahir dalam penguasaan bahasa itu. Anak-anaknya petah berbahasa Inggeris sejak dari kecil lagi. Harapannya agar anak bongsunya nanti dapat mengikut jejak langkahnya menjadi tenaga pengajar suatu hari nanti. Rosmah menutup buku ringaksannya bila melihat Naimah menarik kerusi dan duduk di sebelahnya. Naimah memberitahu rancangannya ke Kuala Lumpur esok kepada Puan Rosmah
“Angah akan ke Kuala Lumpur esok mak. Angah bertolak awal lepas subuh nanti”
“Kirim salam dengan Mak saudara Basir. Jaga diri Angah baik-baik. Masa bertunang ni darah tengah muda” pesan Rosmah kepada anaknya.
“Mak jangan bimbang. Angah pergi dengan mak bapak Basir. Nak jemput saudara mara Basir di Kuala Lumpur. Lepas tu nak beli beberapa barang untuk majlis kahwin nanti”
“Angah jadi jumpa Kak Long nanti?”
“Angah dah telefon tempat Kak Long kerja untuk tinggalkan pesan. InsyaAllah Kak Long kerja hujung minggu ni”
“Pesan dengan Basir jangan sampai Abah kau tahu Ngah. Nanti merajuk pulak Abah kau tu”
“Mak bapak Basir pun tak tahu Angah akan jemput Kak Long. Angah harap sangat Kak Long balik kenduri ni nanti”
“Lepas kau kahwin, mak dengan abah nak ke Mekah. Mak cuma nak jumpa Kak Long kau saja. Kalau jadi apa-apa di Mekah nanti, mak tak mahu Kak Long kau sedih”
“Jangan cakap macam tu mak”
“Dah lama sangat mak tak jumpa dengan Kak Long. Mak tahu dia segan nak telefon mak. Abah kau tu keras sangat dengan dia”
“Kak Long sihat mak. Sekarang ni dia tengah buat latihan amali.  InsyaAllah, dua tiga bulan lagi Kak Long dapat ijazah. Itu yang Kak Long ceritakan pada Angah hari tu”
            Kedengaran deruman motosikal dari luar rumah. Selalunya kalau bunyi motor yang dihentikan bersilih ganti ini, pastinya En Karim balik dengan beberapa orang kawannya singgah untuk berbual-bual.
“Abah kau dah balik dari surau tu. Kalau dia dengar kita cerita tentang Kak Long, mengamuk pulak dia nanti. Esok sebelum kau pergi, jangan lupa surat dan hadiah mak untuk Kak Long”
“Angah dah simpan siap-siap dalam beg”
“Bila Angah balik?”
“Kalau ikut abang Basir, pergi dua tiga hari je”
“Kau jaga diri elok-elok” Rosmah mengulang nasihat.

YONG sihat?” Naimah memegang tangan kakaknya. Basir meninggalkan kedua adik beradik itu supaya mereka boleh berbual tanpa sebarang gangguan.
“Sihat, Alhamdulillah. Mak dan Abah macam mana Angah?”
“Semuanya sihat Yong. Abah tak tahu Angah jumpa Yong. Mak kirim salam dan ni semua” sambil menunjukkan barang yang dikirim emaknya.
Air mata Najihah tumpah.
‘Yong. Mak sampaikan pesan. Hujung tahun ni mak nak ke Mekah dengan abah. Mak nak jumpa sangat dengan Yong. Mak suruh Yong balik masa kenduri nanti. Angah pun nak Yong balik.”
“Abah?”
“Yong jangan fikirkan pasal abah kalau Yong nak balik. Memang abah marahkan Yong tapi mak kata kekadang masa orang tak lihat, abah tatap gambar Yong. Abah pegang gambar Yong. Mak tahu abah masih sayangkan Yong.”
Najihah sudah tidak tahan lagi. Air matanya berderai laju. Naimah juga turut menangis. Dia sedih dengan nasib yang menimpa Kak Longnya. Dari kecil mereka memang akrab sehinggalah Kak Long ke sekolah asrama. Bila Kak Long balik ke kampung, suasana sangat meriah sehinggalah kejadian yang menimpa Kak Long. Emak ada menceritakan kepadanya sebab dia jadi tempat mengadu bila emak teringatkan Kak Long. Nasib baiklah dia dan Kak Longnya dapat berhubungan semula ketika dia mula ke Universiti Islam.
“Yong balik ye?” pujuk Naimah lagi.
Najihah mengeluarkan sedikit wang dan sebuah kotak kecil. “Angah ambillah ni. Ini yang Yong mampu beri pada Angah”
“Angah tak mahu terima duit Yong. Hadiah ni pula Yong bagi bila Yong balik nanti”
“Angah, tolonglah ambil. Yong tak berani janji…..”
“Angah kata Angah tak mahu. Kalau Yong ikhlas nak bagi, Yong bagi masa kenduri Angah nanti”
“Sekurang-kurangnya Angah ambillah duit ni. Buat beli hantaran atau apa. Yong nak juga berbelanja untuk kenduri kahwin Angah”
“Angah terima duit Yong ni, tapi Yong mesti janji Yong mesti balik jumpa Mak sebelum Mak ke Mekah. Mak betul-betul rindukan Yong”
“InsyaAllah Angah, kalau keadaan mengizinkan, Yong balik jumpa Mak nanti”
“Angah kena pergi dulu. Abang Basir dah lama meunggu tu. Yong jaga diri. “

Tuesday, 29 November 2011

Plan C - 5

“No way!” aku menjerit. Memang pandangan mata Ula buat aku terlebih faham.
Kali ini Erin pula memandang aku. Dia langsung tidak tersenyum tetapi aku lihat kepala otaknya sedang berkira-kira. Dia bertanya kepada Ula.
“Maksud kau, Chaya? Aku upah Chaya jadi PA aku?” jarinya ditunjukkan kepadaku. Namum, mukanya penuh tanda tanya.
Ula mengangguk. Kali ini aku nampak perubahan yang amat ketara pada wajah Erin.
“Kenapa aku tak boleh fikir macam kau fikir Ula. Cadangan kau menarik sungguh. In fact, it’s the best! Kau kena tolong aku Chaya. Kau kena jadi PA aku. Kau paling tahu apa yang aku suka. Lagipun kau in between jobs. Aku boleh bayar kau Chaya”
“Tak naklah. Mana aku tahu menahu pasal semua ni” aku menolak.
“Aku tinggalkan kauorang berdua berbincang sebab aku nak mandi” Ula mencelah seraya meninggalkan kami berdua. Kurang asam punya kawan. Pandai-pandai sahaja bagi cadangan. Lepas itu, aku pula yang jadi mangsa.
“Tolonglah aku Chaya. Betul kata Ula. Kalau aku upah wedding Planner pun, aku tak boleh nak percaya seratus peratus. Kau lain. Kau sepupu aku. Kau sayang aku dan kau akan buat  yang terbaik untuk aku”
“Susahlah Erin. Hal kau kahwin ni bukan hal kecil. Kau kena cari orang yang professional. Aku tak layak”
“Kau yang paling layak Chaya. Please. Tolonglah aku, please, please, please, please….”
Aku naik pening bila Erin minta tolong cara dia. Bukan pinta tolong tapi memaksa. Aku sayang dia, tapi aku takut kalau aku buat silap nanti, sepupu ke mana, sahabat ke mana.
“Biar aku fikir dululah” balasku.
“Kau nak fikir apa lagi. Tak perlu fikir lagi. Aku dah tak ada masa ni babe. Kau setuju sajalah. Kau sebut saja berapa upahnya”
“Bukan pasal upah Erin. Aku tak pandai bab-bab ni. Macam mana kalau aku buat silap? Cuba bayangkan kalau aku buat silap”
Erin duduk berhadapan dengan aku.
“Buat silap tu perkara biasa Chaya. Bertahun aku jadi pramugari, kadangkala aku pun buat silap juga. Apa yang penting, kita dah berusaha. Aku tak akan menghukum kau Chaya sebab aku tahu kau akan buat yang terbaik untukku.”

Pisang oh Pisang

Pisang dah jadi makanan ruji aku setiap pagi. Sebenarnya ada tiga benda yang aku cuba amalkan sejak aku dapat hidayah untuk jaga makan minum sejak dua bulan yang lalu. Pertama, breakfast oat Milo. Aku buat macam air dan minum. Kedua, aku makan pisang dan ketiga aku masak halia atau lemon and campur dengan honey...buat satu tumbler besar.
       Pagi ni bila aku bangun, pisang dah habis. Aduh! aku lupa beli lagi. Kalau satu benda dah jadi kebiasaan, dan kalau tak ada, mestilah macam tak lengkap. Itu yang aku rasa pagi ini. Oh Pisang....'you complete me' - aku petik kata-kata Jerry Maguire bila dia nak ayat bini dia balik.
      Aku tau ramai yang tak makan pisang. Aku pun dulu bukannya gemar sangat buah warna kuning tu. Kalau bapak aku bawa balik dari kebun pun aku jeling je.  Aku tunggu mak aku goreng, barulah aku telan satu dua tiga. Tetapi sejak aku beli 3 buah buku pasal pemakanan dan perubatan Islam, barulah aku tahu manfaat pisang. Memang aku rugi sebab tak makan pisang dari kecil lagi. Bila dah tahu...bukan sekadar pisang, sekali dengan kulit pisang aku manfaatkan......
     Aku tak mahu nak cerita panjang kat sini pasal kebaikan pisang. Aku cuma nak bagi tau kenapa aku telan pisang pagi-pagi. Pertama, pisang boost aku punya energy. Banyak karbohidrat dan vitamin B. Mmm...patutlah aku tengok monyet yang makan pisang sumernya aktif. Aku sendiri boleh rasa tapi taklah sampai terlompat-lompat macam haiwan cute tu.
    Kedua, pisang ada mineral yang kita panggil sebagai Phosphates or 'Smart Mineral'. Mineral ni sesuai untuk orang-orang yang bekerja menggunakan mental dan intelektual! Hah! agak sesuailah untuk orang spesis aku. Budak-budak tengah belajar tersangatlah elok makan pisang Setakat ni, aku dah berjaya psikokan anak aku yang sulung tu makan pisang. Bukan itu sahaja, budak-budak yang ambil pisang selalu akan membuatkan psikologi mereka seimbang.
    Perkara yang aku nak cerita sekarang ialah yang aku paling suka pasal pisang. Aku mengaku, aku ni dah tua. Memandangkan pisang tu ada melatonin....satu macam sumber awet muda semulajadi. Itu pasal lepas aku makan pisang, kulit dia pun aku sapu-sapu seluruh muka. Korang tengoklah nanti, bila aku tua bangka..muka still ketat macam Kak Nita gitu...

Jia - 10

Tiga hari kemudian Imran semakin bengang dengan kelakuan Najihah. Setiap pagi dia melaporkan diri dan bekerja seperti biasa tapi selepas makan tengahari Imran agak sukar untuk berjumpa dengan Najihah. Bila lewat petang barulah dia datang mengadap. Ada satu hari itu dia terpaksa mencari sendiri Najihah dan terpaksa berhadapan dengan beberapa orang pekerja perempuan yang cuba mengambil perhatian. Hampir setengah jam dia melayan karenah mereka barulah dia dapat mengesan Najihah yang ketika itu asyik berbual dengan seorang pekerja lelaki. Marahnya bukan kepalang tetapi di hadapan yang lain dia hanya mengarah Najihah untuk masuk ke bilik dengan segera. Dia masih dapat melihat Najihah tersenyum-senyum melayan si lelaki tetapi apabila dia muncul senyuman itu terus lenyap dan digantikan dengan muka yang ditarik panjang. Dia cukup arif dengan gelagat Najihah jika bersamanya walaupun dia semakin terasa Najihah cuba mengelak darinya. Dia perlu buat sesuatu supaya dia tidak perlu berhadapan dengan keadaan seperti itu lagi.
Hari Isnin ketika Najihah masuk kerja dia dapati mejanya sudah hilang dan kelihatan kerusi sahaja. Komputer serta fail-fail tidak kelihatan di mana-mana. Dia duduk di kerusi sambil memikirkan ke mana kesemua barang-barang itu pergi. Kelly dan Sandra  yang baru masuk kerja juga tidak tahu apa yang berlaku dan waktu pagi itu suasana kecoh seketika. Setengah jam kemudian dia didatangi Nadia membawa pesan daripada Imran.
“En Imran dah arah orang angkat barang you. Sekarang ni semua kat depan bilik En Imran. Dia suruh you pergi sekarang”
Muka Najihah merah padam. Apa halnya lelaki itu sampaikan tempat duduknya dikosongkan. Dia berasa begitu marah yang amat sangat.
“Waaa..you dah jadi PA dia nih” usik Kelly menambahkan lagi geramnya. “Ada chance la you nak korek rahsia dia”
“Tak kuasa saya nak jaga hal peribadi dia”
Nadia yang masih berdiri di situ menyampuk sedikit cemburu. “Kalau you tak nak, you cakaplah dengan dia yang I sanggup jadi PA dia” katanya dengan nada yang mengada-ngada.
“Wei…cakap sendiri maa..” ujar Sandra. ”Lebih baik you pergi jaga di depan. Nanti orang datang, you juga kena warning kalau ada orang komplen”
“Yelah…yelah” tangannya dikibas-kibas dan kepada Najiah dia masih sempat berkata “Ingat yer, cakap I sanggup jadi PA dia!”
Najihah mengambil beg tangannya dan bergerak melalui ruang utama di mana Nadia yang sedang melayan seorang tetamu mengangkat satu ibu jari kepadanya. Melalui ruang itu dia menyeberang ke sebelah pejabat di mana dia akan berjumpa dengan ruangan ke pejabat En Zainal. Bilik Imran agak ke hujung sedikit kerana bilik itu dahulunya kosong sehinggalah ia disiapkan untuk kegunaan Imran. Didapatinya sebuah meja dengan komputer yang dicari-carinya tadi berada di sudut kiri pintu masuk ke bilik Imran. Sekurang-kurangnya meja itu berada di suatu sudut yang selamat kerana dari tempat dia berdiri, dia boleh melihat orang keluar masuk ke ruangan pejabat En Zainal. Najihah menggunakan kunci yang terlekat di pas sementara untuk membuka laci meja. Dia menarik laci untuk meletakkan beg tangannya. Berkali-kali dia cuba tarik tetapi laci itu seperti tersangkutkan sesuatu di dalamnya. Najihah hampir berputus asa. Berkerut dahinya sambil mengetap bibir bawahnya, Najihah cuba untuk menarik sekali lagi. Kali ini dengan lebih kuat sedikit.
Pada ketika itulah Imran keluar dari bilik mencari Najihah. Dilihatnya muka Najihah sebegitu rupa. Mata yang kini sudah mula menghantui setiap malamnya memandang ke arahnya. Mata yang penuh pengharapan. Imran terpegun buat yang keberapa kalinya. Terus dia cuba berselindung.
“Awak marah saya atau awak ni ada masalah”
Both” balas Najihah sambil memcuba semula dengan laci itu.
What is the problem?” tanya Imran sambil bersandar ke dinding pintu billik.
“Saya tak boleh buka laci. Masalah kecil saja. Anything En Imran?” soal Najihah tanpa mempedulikan Imran yang sedang berada di situ.
Imran tidak bersuara. Dia segera ke tepi Najihah. Dilihatnya laci yang masih ditarik-tarik oleh Najihah. Ketika itu juga Najihah mendongak. Imran terpaku seketika. Memang mata Najihah yang paling cantik sekali setakat ini. Monique, Danielle atau mana-mana gadis Barat mahupun Timur tidak dapat menandingi kecantikan mata Najihah. Dia duduk berhadapan mengadap laci manakala Najihah serta merta bangun dan bergerak ke belakang untuk memberi laluan. Imran cuba menarik laci tersebut. Ternyata ada barang yang tersangkut menyebabkan laci itu tidak dapat dibuka.
“Ada barang sangkut” Imran berkata.
“Minggu lepas ok. Boleh buka. Tapi hari ini tak ok” kata Najihah sengaja merungut. 
“Mungkin tersangkut masa pindahkan almari kecil ni”
“Mmm..” balas Najihah. Memang pun dia syak dari tadi itu sebabnya.
Imran menarik almari itu dan diterbalikkannya. Di bahagian bawah terdapat satu panel. Sambil bermain-main dengan kunci dia menarik-narik panel tersebut. Kemudian diterbalikkan semula almari kecil itu. Kunci dipusing semula dan dengan senang sekali Imran menarik laci. Dilihatnya di dalam laci yang paling atas terdapat beberapa novel berbahasa Inggeris. Tidak sempat dia melihat tajuk buku, sepantas kilat Najihah menutup laci.
“Terima kasih” tuturnya lembut. Kali ini hati Imran sedikit tersentuh.
“Saya harap awak tak baca novel-novel itu waktu kerja.”
            “Tak. Cuma waktu rehat dan selepas kerja” terang Najihah. Kali ini suaranya kembali tegas.
“Ok. Lepas ini masuk bilik. I need you to do a few things”  tegas Imran sebelum masuk ke biliknya.
Najihah tidak bergerak seketika. Sesungguhnya dia kadangkala malu kerana memikirkan bahawa Imran adalah satu-satunya lelaki yang pernah melihat dirinya dalam keadaan yang tidak sepatutnya dilihat oleh mana-mana lelaki. Sekiranya saat itu yang sedang bermain difikiran Imran sebentar tadi,  entah bagaimanakah Najihah sanggup untuk berhadapan dengannya setiap hari. Rasa malu lebih mengatasi rasa marahnya. Dia segera menyimpan beg tangan di laci paling bawah lalu mencapai pen beserta buku nota persis seorang PA dan masuk ke bilik Imran.

Thursday, 24 November 2011

Plan C - 4

“Chaya!” Aku dengar suara Erin separuh menjerit bila aku buka pintu apartmentku. Sepupuku yang tinggi lampai, cantik jelita dan putih gebu seakan-akan Nasha Aziz versi remaja kelam kabut melangkah masuk ke ruang tamuku sehinggakan salah satu sepatu tinggi merahnya yang hampir lima inci itu turut terpelanting masuk ke dalam apartment.
            “Assalamualaikum Erin” tegurku.
            “Eh walaikumsalam. Sorrylah babe. Aku tengah panik ni. Lupa nak bagi salam”
            “Kau datang seorang sahaja ke?” soal aku sambil mengangkat sepatunya itu dan meletakkan di sebelah pasangannya sebelum menutup pintu grill.
            “Aku minta Ikram drop aku ke sini. Sorrylah kalau aku kacau kau Chaya, tapi aku tahu kau tak buat apa-apa kan harini? Kau kena tolong aku kali ni babe”
            “Kalau ye pun kau duduk la dulu. Kau nak minum tak?”
Erin menggelengkan kepalanya. Dia meletakkan beg galas Louis Vuittonnya ke atas sofa. Namun Erin masih lagi berdiri sambil mundar mandir di ruang tamu yang kecil itu.
            “Kau kena tolong aku babe! Aku dah tak tahu nak minta tolong siapa. Aku hanya ada kau dengan Kak Suri dan Kak Kasih sahaja. Tapi aku tak boleh minta tolong Kak Suri. Dia sibuk sambut baby dan jaga ibu-ibu mengandung. Kak Kasih pun tak boleh juga sebab dia tengah mengandung. Benda last minute macam ni yang buat aku susah hati”
            Aku mendengar keluhan Erin. Memang benar Erin hanya ada aku dan kakak-kakakku Semasa membesar, kami sentiasa berempat. Erin anak perempuan tunggal. Keluarganya memiliki kedai perabut buatan luar negara dan hiasan dalaman.  Semasa membesar, Erin selalu memilih untuk tinggal dengan kami dan Tok Mak bila kedua Mama dan Abahnya harus ke luar negara atas urusan kerja. Aku cukup seronok kalau Erin datang tidur rumah Tok Mak. Mana tidaknya, ada drebar dan kereta besar yang akan menghantar kami ke sekolah. Seronok dapat naik kereta besar dan pergi lambat ke sekolah sekali sekala. Berlainan sungguh daripada bersendat dalam van sekolah yang selalu mengambil aku dan kakak-kakakku sesubuh bening.
            “Kau dengar tak apa yang aku cakap ni babe?” Erin menegurku.
            “Err….Kau kata kau ada masalah” aku main teka sahaja.
            “Mami dan Daddy Ikram suruh kami bernikah awal. Macam mana ni?”
            “Aik? Belum bertunang lagi, dah nak menikah? Ikram macam mana?”
            “Ikram suka sangat idea parents dia tu. Dia kata buang masa sahaja nak bertunang”
            “Eloklah kalau Ikram setuju. Bukan senang orang lelaki nak cepat-cepat kahwin. Selalunya, orang lelaki ni, kalau ajak kahwin je, macam-macam alasan diorang beri. Tak cukup duitlah, nak beli kereta dululah, nak beli rumahlah….”
            “Ikram dah ada semua tu” balas Erin. Matanya seperti memandang jauh seperti fikirannya tengah melayang memikirkan sesuatu. Dia masih lagi berdiri. Aku pula yang duduk selesa di sofa.
            “Jadi bulan Ogos ni kau nak bertunang ke atau kau nak nikah?” soalku. Berterus terang. Sekarang baru bulan Jun. Kali terakhir kami bertiga, aku, Ula dan Erin berkumpul tanpa Nadia seminggu yang lalu, siErin sibuk dengan bercerita yang dia jadi hendak bertunang bulan Ogos nanti dan majlis pernikahan dalam bulan Mei tahin hadapan bersempena dengan harijadinya.
            “Argghhh!!!!” Erin menjerit. Kali ini dia hempaskan badannya ke sofa panjang. Aku tarik nafas lega. Mujurlah  tubuh Erin kurus keding . Sofa second hand tuan rumah aku itu masih mampu bertahan.
            “Sabar Erina. Banyak-banyak mengucap” ayat yang biasa digunakan oleh Tok Mak yang terbawa-bawa oleh aku sampai sekarang. Bukan aku seorang. Kakak-kakakku pun sama juga. Kadangkala ayat yang sama juga keluar daripada mulut Erin.
            Erin menongkah ke langit. Tangan kanan terletak di dahinya. Aku melihat sahaja. Bersedia untuk mendengar dan membiarkan Erin mengambil masa untuk menyusun kata-kata.
            “Aku tak tahu Chaya. Aku inginkan segalanya berlaku seperti yang aku rancang. Kahwin tu perkara yang besar dalam hidup mana-mana perempuan. Bukan perkara mudah dan bukan main suka sahaja.”
            Aku mengangguk dan membiarkan Erin meneruskan lagi.
“Of course, kita harap kita dapat kahwin dengan orang yang kita cinta dan hidup dengan dia sampai ke akhir hayat. Sekali Chaya. Kahwin sekali sahaja dalam hidup kita. Itu yang kita mahu. Jadi, kita rancang saat-saat indah itu dengan teliti. Ikut impian yang kita simpan dari zaman kanak-kanak lagi. Nak pakai baju warna apa, pelamin macam mana dan siapa yang kita nak jemput. Semuanya aku dah fikir Chaya. Kemudian, kita cari atau tunggu siapa dan bila dah jumpa orangnya, perkara yang seterusnya ialah bila.”
“Mmmm….” Aku setuju dengan kata-kata Erin. Aku pun macam dia juga. Aku rasa semua perempuan pun sama seperti Erin bila tiba soal jodoh dan kahwin.  Namun, aku langsung tidak terganggu dengan kata-kata Erin. Maklumlah, aku sudah lancarkan Plan C.
“Aku dah susun Chaya. Bila nak bertunang, bila nak nikah dan bila nak kahwin. Sampai nak mengandung pun aku dah fikirkan bila masanya” tambah Erin dan kemudiannya dia diam membisu. Mungkin sedang fikirkan sesuatu. Kali ini dia memang nampak resah sungguh. Erin selalunya ceria. Dia dan Nadia adalah spesis perempuan ceria manakala aku dan Ula pula geng yang kalau ketawa pun belum tentu keluar suara.
“Kenapa tiba-tiba?”soalku bila teringat permintaan keluarga Ikram.
“Parents dia dapat pergi Haji hujung tahun ni. Jadi diaorang nak tengok kami menikah segera. Parents dia akan pergi dengan beberapa ahli keluarga yang lain termasuklah Umi Ikram walaupun ini kali kedua nenek Ikram tu buat Haji. Orang tua tu yang propose kami nikah dahulu. Katanya lepas naik Haji nanti, kalau kami nak buat kenduri sepuluh hari sepuluh malam pun tak tak ada problem.”
“Berbalik kepada satu perkara” tiba-tiba aku terasa seperti seorang ahli kaunselor. “Apa rancangan dan apa keputusan kau?”
“Apa pendapat kau?”
Susah. Aku tanya soalan, dia tanya pendapat aku pula. Kaunselor professional pun tidak mungkin akan menjawab soalan ini. Aku ubah taktik lain.
“Kau bersedia tak nak kahwin?” soalku.
Erin hanya mengangguk. Pantas juga dia angguk. Itu bermaksud dia tidak berfikir panjang untuk menjawab soalan aku. Ia sesuatu yang memberansangkan. Aku tanya soalan yang lain.
“Kalau kau buat majlis bertunang dan menikah serentak, ada masalah tak?”
Aku bangga dengan soalan aku. Mungkin aku patut jadi kolumnis penasihat di majalah wanita dan bukan graduan IT. Aku lihat mulut Erin muncung sedikit. Fikir mendalam sampai begitu sekali. Aku dengar Erin menarik nafas yang panjang. Belum sempat dia menjawab, Ula muncul di depan pintu sambil memberi salam. Dia gunakan kunci miliknya untuk membuka grill dan menegur kami berdua.
“Hi. Ada masalah besar nampaknya kau  Erin sampai mulut kau tu dah macam mulut Angelina Jolie?”
Erin hanya tersenyum.
“Hi Ula” balasnya. “Eloklah kau dah balik. Kau pun boleh tolong aku”
Ula yang belum sempat berehat memandangku. Aku buat muka seperti menyuruhnya duduk sahaja tanpa perlu menyalin pakaian kerjanya seperti selalu. Ula menurut dan duduk di sebelahku.
“Apa problemnya?” soal Ula.
“Keluarga Ikram nak mereka kahwin segera sebelum orang pergi Haji tahun ni” aku membalas.
“Ooo…itu bukan masalah besar. Kau kahwin sajalah Erin. Lagi pun kau dan Ikram tu dah beberapa tahun bercinta. Memang nak kahwin pun kan”
“Kau cakap senang babe” balas Erin. “Memanglah aku nak kahwin, tapi kalau cepat macam ni, aku tak sempat nak buat semua perkara. Nak tempah baju, nak buat hantaran”
“Mama dan abah kau tak boleh tolong ke?”
“Memanglah boleh, tapi takkan aku nak serahkan bulat-bulat suruh mereka buat semuanya. Mereka pun sibuk juga dengan projek beberapa buah banglo di Seremban 2. Aku pula ada beberapa flights. Mana sempat. Tak sampai dua bulan babe kalau nak dapat sesempurna yang aku mahu”
“Aku ada cadangan” kata Ula. Aku dan Erin memandang tepat ke wajah Ula. Kalau Ula ada cadangan, selalunya yang terbaik. Ula memandang Erin dan kemudiannya kepadaku sebelum berkata-kata.
“Kau sibuk tapi kau nak kahwin juga kan?” soal Ula.
Erin mengangguk.
“So, kau buat perkara yang biasa orang di seluruh dunia selalu buat. Dapatkan khidmat pembantu peribadi or PA”
Kali ini bukan Erin sahaja yang diam mendengar. Aku juga turut beri perhatian.
“PA ni perlu pastikan apa yang kau nak semuanya dapat. Kau hanya perlu bayar upah sahaja dalam dua bulan ni. Dengan erti kata lain, PA ini akan jadi proksi kau dalam semua perkara yang berkaitan dengan majlis kahwin ni”
“Apa yang aku perlu buat babe?’ soal Erin.
“Kau hanya perlu relax dan berkomunikasi sahaja dengan PA kau”
“Boleh percaya ke PA ni?” aku pula cuba tunjuk pandai.
“Mestilah” balas Ula. Ramai orang sekarang dah pakai khimat PA macam ni. Tak pun macam orang Barat, diorang ada Wedding Planner. Kalau kau browse di Internet, berlambak bukti yang kau dapat. It is so simple yet proven.”
“Sound interesting” Erin mula berfikir. “but where can I get a good wedding planner di Malaysia ni yang aku rasa aku boleh percaya? Aku rasa aku tak kisah kalau kena bayar banyak sebab aku mampu pun”
“Percaya is your key word Erin” balas Ula.
What do you mean?”soal Erin.
Ula hanya tersenyum. Matanya memandang aku.

Wednesday, 23 November 2011

Jia - 9


Najihah teringat akan semua cerita tentang En Imran dari teman-teman sepejabat. Ada dua perkara yang dia tahu tentang en Imran. Seorang lelaki yang kacak dan kaya. Dua kriteria yang paling tidak disukainya. Dia punya alasan sendiri kenapa berperasaan begitu. Dalam hidupnya terdapat dua lelaki seperti itu. Seorang telah merosakkan hatinya manakala seorang lagi telah menghancurkan hatinya. Kali ini dia perlu menghadapi seorang lelaki lebih kurang sama seperti mereka. Mujurlah dia rasa dia sudah tidak ada hati dan perasaan. Jadi untuk berdepan dengan lelaki itu mungkin tidak akan menimbulkan sebarang masalah kerana dia tidak perlu lagi menjaga hatinya yang tidak berperasaan itu. Najihah mengetuk pintu beberapa kali.
“Masuk,” kedengaran suara dari dalam bilik. Najihah bergerak masuk lalu memperkenalkan diri kepada ketua barunya yang ketika itu sedang mengadap ke tingkap seperti kusysuk memerhatikan sesuatu.
“Selamat pagi En Imran. ”
Diam. Najihah bergerak kehadapan sehingga hampir dengan meja di mana dipenuhi pelbagai kertas dan sebuah komputer riba berwarna putih. Perkara pertama yang dia perasan ialah lambang buah apple pada komputer itu. Macintosh. Lelaki ini lain dari yang lain. Diamatinya En Imran yang berkemeja putih dan berseluar jeans kemas itu. Terdetik hatinya takala melihat susuk tubuh dan ketinggian En Imran. Cukup sasa dan tegap. Najihah kini faham kenapa En Imran sentiasa menjadi bualan rakan-rakan sepejabat.  Walaupun dari pandangan belakang, En Imran pasti dapat menangkap perhatian mana-mana perempuan.  Bagaimana pula dengan rupa En Imran, fikir Najihah. Tiba-tiba dia terasa malu dengan persoalan yang bermain di fikirannya itu. Dia tidak sepatutnya memikirkan perkara yang bukan-bukan seperti itu. Lekas-lekas dia memperkenalkan diri.
“Err…saya Najihah. En Zainal minta saya lapor diri pada en Imran”. Berdebar-debar rasa di hati yang tiada perasaan ini.
“Saya tahu…”  kata Imran sambil memusingkan badannya dan  memandang tepat ke mata Najihah.
Najihah terkaku. Tidak mungkin orang yang sama!
Keadaan bilik seperti berlegar atau kepalanya seperti berpusing. Najihah seperti berada kembali ke zaman silamnya. Bumi yang dipijak bagaikan bergegar-gegar. Kepala Najihah semakin pening. Mimpi ngeri yang kadang kala dialaminya kini menghantuinya kembali. Tapi ini bukan mimpi. Ini realiti. Nafas Najihah seakan tersekat seperti sukar untuk bernafas. Pandangannya kabur dan buat kali kedua sejak peristiwa hitam itu, Najihah rebah tidak bermaya.
Reaksi Imran yang pantas menangkap tubuh Najihah dari jatuh ke lantai. Dia panik seketika dengan keaadaan itu. Tidak terlintas langsung perempuan itu akan pengsan. Disangkanya Najihah akan bertindak seperti orang gila atau sebagainya, tetapi jangkaannya meleset sekali. Imran mengangkat tubuh yang loglai itu ke sofa yang berdekatan. Hidungnya tertangkap bau wangian bunga-bungaan dan tanpa disangka, dia cuba meneka jenis bunga yang dihidunya itu.  Dilihatnya Najihah seketika. Perempuan ini begitu kecil dan ringan sekali seperti budak belasan tahun. Timbul rasa kasihan di hatimya. Fikirannya melayang seketika dan hati Imran kembali keras.
Najihah terasa seperti sedang hanyut di bawa ombak yang besar. Dia cuba berenang sekuat hati untuk sampai ke daratan. Terasa kakinya semakin penat untuk meneruskan kayuhan. Dia tidak boleh mengalah. Terlalu banyak ombak yang telah ditempuhi dan setiap ombak ditempuhi dengan jayanya. Tapi kali ini ombak itu kelihatan terlalu besar dan kuat untuk dia hadapi. Dia tidak mahu lemas dan dia tidak akan membiarkan dirinya lemas. Najihah menarik nafas yang panjang dan membuka matanya. Dia pantas bangun dan terus berdiri. Najihah terkedu seketika. Dia tidak menyangka dia akan pengsan sedemikian rupa. Tangannya terus membetulkan tudung di kepala sambil otaknya ligat memainkan semula babak sebelumnya.
“Nampaknya awak dah ok…”
Najihah tidak mahu memandang ke arah lelaki jahanam itu. Dia menahan marah yang amat sangat. Mukanya merah padam dan dia memandang tepat kepada lelaki yang sedang bersandar dengan tenang di tepi meja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Najihah cuba menenangkan perasaannya. Kalau diikutkan hati, dia ingin menjerit, memaki dan kalau sudah hilang akal, mungkin membunuh pun dia sanggup. Lelaki yang berada dihadapan inilah yang bertanggungjawab ke atas penderitaannya selama ini dan yang merosakkan satu-satunya benda paling berharga pada dirinya. Najihah beristigfar berkali-kali di dalam hati. Bukankah dia telah cuba melupakan segala yang berlaku dan menumpukan perhatian untuk meneruskan kehidupan. Dia cuba memujuk dirinya sendiri.
Najihah bersuara. “Lelaki tak guna!.”  Dilemparkan pandangan yang agak tajam dengan rupa yang serius sekali.
Perempuan ini memang berani, rengus hati kecil Imran. Dia seperti berhadapan dengan gadis yang sama beberapa tahun yang lalu. Cuma kali ini bukan suatu pandangan seseorang yang ketakutan tetapi lebih kepada keberanian. Imran begitu teruja dengan pandangan mata Najihah. Imran melihat Najihah dari hujung kepala ke hujung kaki. Tinggi perempuan itu tidak pun sampai mencecah bahunya.
“Nampaknya awak dah berubah” kata Imran menghampiri Najihah. Hujung tudung Najihah dipegang seketika dan dilepaskan apabila Najihah cuba menepis. “ Kenapa sampai jadi begini? Kalau macam ni, mana ada lelaki kaya yang sanggup jadikan awak perempuan simpanannya”
“Iblis!” jerit Najihah. Dia mengangkat tangan untuk menampar Imran tetapi tangan Imran lebih pantas menangkap tangan Najihah dari hinggap ke pipi kanannya.
“Lepaskan!” Najihah cuba untuk melepaskan pegangan tetapi walau sekuat mana dia mencuba Imran ternyata lebih kuat dan pegangannya semakin erat. Imran melihat  tangan yang dipegang itu kecil dan lembut sekali. Dia meramas-ramas tangan tersebut sambil melihat reaksi Najihah.
Najihah berhenti dari usahanya. “Saya kata lepaskan saya! Lelaki tak guna” dia bersuara tegas walaupun hatinya berdebar-debar kencang diperlakukan begitu. Dia tidak mahu mengalah dengan lelaki ini. Mungkin dahulu dia masih mentah tetapi kini tidak ada sesiapa yang boleh menakutkannya. Termasuklah iblis bertopengkan manusia de depannya itu.
Pegangan Imran masih kejap. Gelaran Iblis dan lelaki tak guna yang baru diberikan oleh Najihah kepadanya diendahkannya. Dia membalas pandangan Najihah. “Kenapa tak cari saja seorang lelaki untuk awak bergantung seperti yang awak lakukan sebelum ini? Kenapa sampai belajar untuk bekerja. Bukankah cara itu susah untuk awak cepat kaya?”
Kata-kata Imran tidak masuk akal. Najihah termanggu seketika. “Apa yang awak cakap nih? Saya tak faham.  Apa salah saya pada awak?” Soal Najihah bertubi-tubi.
“Jangan pura-pura tak faham. Awak ingat cara awak berpakaian dan cara awak konon-konon belajar dan bekerja ni boleh ubah siapa awak dulu!” terus Imran melepaskan tangan Najihah. “Orang lain mungkin awak boleh tipu. Tapi saya kenal betul siapa awak. Act like a saint but in reality you’re just a slut!”
Perkataan itu bagaikan satu pukulan yang kuat. Najihah menyerang Imran. Kedua-dua tangan digenggam dan terus memukul Imran tanpa berhenti-henti. Dia menjerit-jerit sekuat hati melepaskan rasa marah yang amat sangat. Najihah kali ini betul-betul sakit jiwa. Tidak pernah dia dihina sedemikian rupa.
Imran membiarkan saja pukulan demi pukulan dari Najihah kerana sedikit pun dia tidak berasa sakit. Dia menarik kedua-dua tangan Najihah dengan kasar dan menolak perempuan itu ke bawah. Najihah yang tiada tempat bergantung terus rebah ke lantai. Walaupun jatuh, Najihah tetap gagah bangun dan melawan semula. Kali ini Imran memaut pula tubuh Najihah. Tubuh yang kecil itu diangkatnya dan dilepaskan sekuat hati ke atas sofa. Walaupun sofa lembut, Najihah terasa sakit di belakang lalu dia memeluk tubuhnya. Air mata mula bergenangan tapi ditahan sekuat hati.
Get a grip, woman!” kali ini suara Imran sedikit kuat. “Damn!” dia mengeluh sambil bergerak menuju ke mejanya. Najihah yang sedang berada di atas sofa masih termengah-mengah dan nafasnya turun naik dengan cepat. Selang beberapa minit, Najihah semakin tenang. Fikirannya buntu dan dia begitu penat sekali.
“Kenapa saya?” kata Najihah.
What?” balas Imran
“Kenapa buat saya macam tu dulu?” Najihah bertanya. Mukanya merah menahan marah dan malu. Marah kerana dia bertanya kepada orang yang paling dibenci dan malu kerana dia terimbas kembali kejadian di bilik hotel itu di mana dia dan Imran sahaja yang tahu mengenainya.
Imran hanya melihat Najihah seperti tidak percaya dengan soalan yang diajukan. Pelik sungguh. Perempuan ini menanyakan satu-satunya soalan yang dia sendiri patut tahu jawapannya.
“Awak masih tak faham? Selepas lebih lapan tahun dan awak masih tak faham?” soal Imran semula.
“Sebab saya betul-betul tak tahu” tegas Najihah.
Imran berpeluk tubuh. “Kalau begitu, saya pasti awak masih perlukan masa untuk berfikir” katanya muktamad. “Sekarang awak akan bekerja dengan saya dan mungkin ketika itu nanti, awak boleh dapat jawapan yang awak mahukan”
Memandangkan Imran tidak menjawab soalannya dan dia juga tidak ingin berada di situ apatah lagi menghabiskan masa hampir dua bulan dengan Imran, Najihah terfikirkan jalan yang lebih mudah.
“Saya tak pasti saya nak bekerja dengan lelaki seperti En Imran” katanya dengan tenang.
“So?”
“Saya akan minta izin dengan En Zainal untuk kerja semula dengan Puan Asmah”
“And your reason, would be… what?”
“Itu masalah saya” balas Najihah sambil cuba memikirkan alasan yang hendak diberikan kepada En Zainal nanti. Buat masa sekarang dia mahu lari sejauh mungkin.  Begitu rimas berhadapan dengan lelaki ini. Ada masanya dia pernah membayangkan keadaan apabila berjumpa semula dengan lelaki itu dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan.Ambil benda yang tajam dan tusukkan ke dada lelaki itu. Ternyata kini dia kaku untuk melakukan angannya itu. Rasa kecewa mula menular. Bukankah dia sepatutnya lebih berani sekarang. Najihah sudah tidak pasti. Dia bergerak menuju ke pintu.
No” kata keras Imran membuatkan Najihah berhenti seketika. “Saya rasa awak tiada pilihan lain. Zainal kawan baik saya dan awak hanya pekerja sementara. Lagipun saya yang minta awak secara peribadi dari Zainal. Jadi saya pasti, awak hanya akan kerja dengan saya. Atau awak sebenarnya takut dengan saya?” soal Imran.
“En Imran” Najihah masih cuba bertenang. Dia menoleh sedikit ke arah Imran tetapi tidak bertemu muka sementara tangannya memegang tombol pintu. “Apa pun perasaan saya sekarang ini, hanya saya saja yang tahu dan biar saya jelaskan, satu daripadanya bukan takut”
“Haa…kalau macam tu, kenapa nak lari daripada saya?” soal Imran.
“Bukan lari En Imran, tapi mengelak”
It’s the same
“Tak sama En Imran. Lari bermaksud saya takut” Kali ini Najihah melihat terus ke mata Imran. “Mengelak pula bermaksud saya cuba kurangkan masalah”
Imran terus ketawa kerana pertama kali mendengar perbezaan lari dan elak. Sehingga kini tidak ada seorang perempuan pun yang pernah lari dari berjumpa dengannya inikan pula mengelak diri. Perempuan ini memang pandai berkata-kata. Tetapi Najihah ada alasan tersendiri. Walaubagaimanapun Najihah tetap bersalah. Kalau tidak kerana Najihah, keluarganya tidak mungkin kehilangan Haikal dan Mama mungkin tidak bersedih sehingga ke hari ini. Suatu hakikat yang tidak dapat dilupakan dan Imran berhenti dari tawanya.
“Bagi saya, kedua-duanya tetap sama”  katanya serius.
Najihah malas mendengar lagi. Tombol pintu ditarik.
“Nanti!” jerit Imran.
Kali ini Najihah hilang akal. Pintu yang dikuak sedikit ditutup sekuat mungkin
“Apa lagi En Imran?!” jerit Najihah membalas. Dia merapati Imran. Jarinya mencucuk-cucuk dada bidang Imran tanpa menghiraukan kebarangkalian kerjaya praktikalnya.
“Tak faham bahasa atau buat-buat tak faham? En Imran belum puas lagi ke apa yang dilakukan pada saya lapan tahun dulu? Bertahun saya tertanya-tanya sebabnya tapi saya tiada jawapan. Sampai hari ini pun saya masih belum dapat jawapannya. Kalau en Imran gembira nak dengar saya menderita selama ini, ya, saya akui, memang saya menderita. Dah puas dengar saya mengaku saya menderita? Dah puas?!”  pekikannya lebih kuat. Kali ini kedua-dua tangan Najihah menepuk dada Imran berkali-kali.
Imran tidak membalas seperti sebentar tadi, tetapi dia terus memegang kedua-dua tangan Najihah seeratnya. Najihah cuba melepaskan pegangan Imran sekuat hati dan kali ini air matanya kekecewaan mengalir laju. Melihatkan Najihah yang sedang menangis, Imran melepaskan tangannya. Bila tangannya dilepaskan, Najihah terus berlari tanpa arah tujuan. Ruang utama pejabat dilaluinya dengan pantas tanpa menghiraukan Nadia yang sedang duduk di belakang meja penyambut tetamu. Dia terus berlari.
Sedar-sedar dia sudah berada berhampiran dengan laluan tangga bangunan. Dia duduk di salah sebuah anak tangga dan menutup mulut dengan kedua-dua tangannya sambil menangis sepuas-puasnya. Kenapa sekarang ini Allah menemukan dia dengan lelaki yang telah memusnahkan hidup dan merendahkan harga dirinya. Jika ini dugaan dariNya lagi bagi membuktikan ketakwaannya, Najihah redha. Hampir setengah jam dia duduk di situ dan setelah puas melepaskan perasaan yang terpendam dia mula berasa tenang. Setelah dipastikan perasaannya betul-betul terkawal, dia bangun sambil melihat sekeliling kalau-kalau ada yang melihatnya dalam keaadaan begitu. Mujurlah tiada orang di persekitaran. Kalau tidak mungkin menjadi tanda tanya bagi sesiapa yang berada. Najihah mengucap panjang. Dia keluar menuju ke bilik air pejabat. Dengan cermat dia  membuka tudung kepala dan mula mengambil air wuduk bagi menenangkan perasaan yang sudah dalam keaadaan terkawal. Tinggal dua bulan lagi untuk dia menamatkan pengajian dan lelaki tadi tidak mungkin akan menjadi penghalang untuk dia membuktikan kepada semua kesungguhannya mendapatkan seulung ijazah.
Telefon bimbit di atas meja berbunyi menandakan seseorang sedang cuba menghubunginya. Imran membiarkan saja telefon itu berdering seketika. Dia mundar mandir di biliknya sambil memikirkan tentang kejadian sebentar tadi. Walaupun pada hakikatnya dia sudah merasakan perbuatan membalas dendam terhadap Najihah suatu ketika dulu sudah mencukupi, namun, dia masih tertanya-tanya adakah perlu untuk dia meneruskan lagi perbuatan membalas dendam itu hanya kerana takdir menemukannya semula dengan Najihah? Adakah benar pengakuan Najihah tentang derita yang dialaminya atau itu hanya lakonan semata-mata sepertimana kepura-puraan Najihah yang tidak tahu menahu tentang kesalahannya terhadap Haikal. Sejurus selepas itu, satu bunyi menandakan sms diterima. Imran mencapai telefon itu lalu di bacanya. Mesej dari Zainal.
Imran. Need you here.
Melalui mesej itu Imran sudah dapat mengagak apa dan siapa yang menantinya di situ. Dia membalas semula mesej Zainal.
Make her come back to me. Now.
Bengang betul Zainal membaca mesej daripada Imran. Celaka betul kawan seorang ini. Apa yang telah berlaku antara Imran dan Najihah. Apa yang patut dilakukannya sekarang, fikirnya. Dia memandang muka Najihah yang sugul. Dia dapat meneka bahawa gadis itu baru sahaja lepas menangis. Permintaan Najihah untuk tidak di letakkan bekerja  di bawah Imran agak sukar untuk dipenuhinya kerana bukan sahaja Imran sahabatnya tetapi dia juga pemegang saham syarikat ini dan Zainal tahu dia tidak boleh jadikan nyatakan Imran ialah pemegang saham sebagai alasan untuk Najihah akur. Merahsiakan siapa diri Imran di syarikat itu adalah satu syarat jika Zainal ingin bantuan Imran.
“Boleh saya tahu kenapa Najihah tak mahu bekerja dengan En Imran?” selidik Zainal untuk mengetahui masalah sebenar Najihah dan Imran.
“En Zainal tak rasa ker yang saya sebenarnya tak layak untuk bantu en Imran dalam hal Megah Holdings? Bukankah itu projek besar dan hanya orang tertentu saja boleh mengendalikannya? Jadi saya rasa ada orang yang lebih layak lagi daripada saya”  Soalan dan jawapan Najihah sekaligus merumitkan Zainal.
“Saya tahu, tapi Imran memang bagus. Lagi pun, dia cuma perlukan pembantu untuk handle paperworks. Jadi bagi saya, ini adalah pendedahan yang baik. Awak dapat pelajari sesuatu selain dari kerja-kerja perakaunan.”
Najihah hanya mendiamkan diri. Nampak gaya seperti alasan awalnya ditolak mentah-mentah. Sanggupkah dia berterus terang dengan En Zainal alasan sebenarnya iaitu dia tidak mahu bekerja dengan lelaki yang telah merosakkan hidupnya. Kalau dia berterus terang adakah en Zainal akan percayakannya? Silap-silap En Zainal akan memandang serong terhadapnya. Bagaimana pula dengan latihan amalinya? Adakah dia sanggup melihat segala yang diusahakan selama ini tertangguh begitu saja. Kenapa pula dia perlu takut kepada lelaki jahanam itu. Bukankah tadi dengan bangganya dia menyatakan bahawa lelaki itu sebenarnya tidak sedikitpun membuat dia rasa takut. Ketika itu Najihah berdoa ke hadrat Ilahi agar dipertunjukkan laluan mana yang harus ditempuhi.
“Ada apa-apa yang Najihah nak beritahu saya?” soalan En Zainal mengejutkkan Najihah.
“Tak bolehkah saya report balik pada Puan Asmah?” rayu Najihah sekali lagi.
“Saya dah “assign” Sandra untuk buat sedikit kerja untuk bantu Asmah” ujar Zainal dengan pantas walaupun sebenarnya dia belum lagi berbuat demikian. Terpaksalah dia bohong sunat kerana tidak mahu lama menjadi orang tengah dalam hal Imran dan Najihah.  Dia ingin juga tahu apakah cerita mereka berdua. Mungkin kedua-duanya ada sejarah tersendiri. Kelmarin ketika Imran meminta bantuannya, tidak pula diceritakan sebab kenapa dan mengapa. Kalau ditanya pun belum pasti Imran yang begitu perahsia orangnya akan bercerita. Apa-apa pun, dia tidak mahu tersepit di tengah-tengah dengan hal sebegini. Biarlah kedua-dua mereka menyelesaikan masalah yang timbul walau apa pun kesudahannya. Namun, Zainal masih berharap jika dia dapat menyaksikan babak-babak yang menarik berlaku seperti ketika dia sama-sama belajar dengan Imran dahulu.
“Najihah lapor balik pada Imran sekarang….ok?” tanya Zainal.
Terkedu Najihah seketika. Di fikirannya ada ombak yang ganas yang sedang melanda dan dia nampak dirinya sedang lemas. Tangannya seperti mengelap peluh di dahi walaupun hakikatnya dia kesejukan di dalam bilik itu. Dengan rasa berat hati, dia bangun dari kerusi dan tersenyum tapi disebalik senyuman itu ada kepahitan yang cuba disembunyikam. Terpaksalah dia mengharungi ombak besar yang mengganas itu. Apa-apa pun yang berlaku dia nekad tidak mahu tenggelam dan lemas di tengah-tengah lautan.
            “Terima kasih En Zainal sebab sudi layan saya. Minta diri dulu” jawab Najiah. Bila keadaan mengizinkan, Zainal menekan telefon bimbitnya.
She is on her way. Good Luck.
Belum sampai seminit Zainal menelek mesej kedua dari Imran.
I don’t believe in luck!

NAJIHAH mengetuk pintu bilik Imran sekali dan terus masuk tanpa disuruh. Dia terus meluru ke arah Imran yang sedang duduk di belakang meja utama dan berhenti beberapa langkah. Imran hanya tersenyum melihat muka Najihah yang begitu masam dan kecewa.
“En Imran jangan ingat En Imran dah menang. Saya cuma nak En Imran tahu betapa bencinya saya pada En Imran. Saya rasa saya layak cakap begini walaupun saya tahu masa depan saya kini berada di tangan En Imran. Sekarang saya di sini sebagai pembantu yang seperti diarahkan oleh En Zainal. I just hope I can trust myself to work with you.”
Najihah melihat Imran mengangkat sebelah keningnya. Kedua-dua tangan diangkat kebelakang kepala dan matanya memandang tepat ke arahnya. Najihah diam tetapi dadanya berdegup kencang semula. Belum pernah dia berhadapan dengan situasi seperti itu. Belum pernah dia seberani begitu sehingga dia mampu mengeluarkan perkataan benci. Ia seperti diluar kawalan. Najihah hanya menunggu. Benci melihat reaksi Imran yang tenang dan bersahaja.
“Bagus kalau awak dah mula sedar. Sekarang yang awak perlu fikir bagaimana nak jadi pembantu yang baik seperti yang saya inginkan” Imran berhenti seketika. “Lagipun bukankah kuasa di tangan saya sekarang ini?”
“Maksud en Imran?” soal Najihah yang tidak begitu menyenangi bunyi bahasa Imran.
“Sebagai ketua, bukankah saya boleh mempengaruhi pensyarah awak dalam membuat penilaian terhadap amali awak?”
Najihah tersentak. Itu mengugut namanya dan Najihah begitu geram. Dikawalnya perasaan geram yang mebuak-buak itu. Jika ini permainannya, dia akan turut serta. Lagi pun apa yang perlu dikhuatiri. Mungkin ini jalan cerita yang perlu diikuti. Betul tak begitu?, tanya hati Najihah sambil memandang ke atas seolah-olah soalan itu ditujukan kepada Allah yang Maha Mengetahui.
“Apa yang perlu saya buat?” soal Najihah tidak begitu bangga dengan suaranya.
“Berapa laju awak boleh menaip?”
“Lagi laju daripada saya makan” jawab Najihah bersahaja. Dilihatnya muka Imran berubah seperti samada hendak ketawa ataupun marah. Najihah tidak berapa pasti.
“Berapa laju awak makan?” soal Imran seperti mencabar.
Najihah membiarkan soalan itu. “En Imran nak saya taip sesuatu?”
Imran mencapai beberapa keping kertas dan dihulurnya kepada Najihah.
“Siapkan cepat” katanya.
Najihah mencapai kertas yang diberikan dan terus keluar tanpa sebarang soalan. Mata Imran mengikuti langkah Najihah sehinggalah pintu bilik tertutup sendirinya. Tidak disangka perempuan itu begitu berani berkata-kata. Berbeza sungguh dengan perempuan yang dia temui dulu. Manusia berubah dan mungkin itu juga yang berlaku pada Najihah. Ingatannya kembali menerjah. Ada sesuatu yang tidak berubah. Sepasang mata yang masih cantik. Malah lebih cantik dari dahulu. Pandangan yang cukup berani. Sudah berapa ramai perempuan yang dikenalinya. Lebih cantik dan lebih bergaya kalau dibandingkan dengan Najihah tetapi dia sendiri hairan mengapa dia mudah leka dengan pandangan mata Najihah, dahulu mahupun sekarang.
Sejam kemudian Najihah kembali dengan beberapa kertas ditangan. Diletakkan diatas meja Imran.
“Dah siap? Lajunya” kata Imran dengan nada yang lucu. Dia terus meneliti helaian kertas itu. “Bagus. Boleh tahan. I will have to check this first just in case
“Ada apa lagi yang perlu dibuat?” tanya Najihah selamba.
“Kali ini berapa laju awak boleh turun ke kedai donat di bawah?”
Najihah kehairanan. Kenapa tiba-tiba muncul kedai donat pulak. Belum sempat dia menjawab, pintu bilik Imran diketuk dan dikuak tiba-tiba. Cik Suhana muncul dengan tersenyum lebar. Blaus putih yang dipakai sedikit jarang manakala skirt pendek berwarna hitam itu menyerlahkan lagi kakinya yang putih melepak. Sepasang kasut tumit tinggi hitam turut menghiasi. Nampak seksi betul. Walaupun dengar khabarnya wanita itu berusia lewat 30an tetapi dia kelihatan seperti di lewat 20an. Cukup bergaya dan penuh keyakinan diri.
“Hi Imran” tegur Suhana. “Oh Hi Najihah”
“Cik Suhana” balas Najihah lembut.
Suhana mengalih pandangan semula ke arah Imran. “You dah makan? Mari keluar lunch dengan I?”
Najihah tahu soalan Suhana hanya diajukan kepada Imran. Cepat-cepat dia bersuara untuk keluar dari situ.  “Err…minta maaf, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu” . Tanpa menunggu kebenaran dari Imran dia meninggalkan bilik itu. Sebaik sahaja keluar, Najihah tersenyum seperti hari ini tidak mengecewakannya. Memang padan betullah kalau ditakdirkan lelaki itu dan Cik Suhana bersama, doanya.
“So how is Najihah? Harap you ok kerja dengan dia.”
Pertanyaan Suhana menyedarkan Imran yang masih tertumpu ke arah pintu di mana Najihah keluar sebentar tadi  “Oh, Dia okay” jawabnya acuh tak acuh.
“Boleh kita pergi sekarang?”
“Pergi? Pergi mana?” tanya Imran terlupa.
“Ish you ni pelupa betul” tersengih-sengih Suhana sambil menghampiri Imran. Dia duduk di atas meja. Jari-jari lembut mula menyentuh tangan Imran sambil merapatkan dirinya.  “I ajak you keluar lunch”.  Wangian mahal menerjah ke hidung Imran dan dari pandangan sisi, dia dapat melihat telus blaus Suhana.
“Wokey!” Imran pantas bangun dan menghembuskan nafas melalui mulut. Gelagat Suhana merisaukannya. Suatu ketika dulu dia mungkin dia membiarkan sahaja perlakuan perempuan seperti Suhana, tetapi kini dia sudah bosan dengan perempuan-perempuan yang seperti menjaja diri mereka sendiri. Seperti tiada maruah diri langsung. Apatah lagi dari seorang perempuan Melayu. Dia melihat Suhana yang tidak segan silu mengeliat di depannya.
“Jom” ajak Imran sambil beredar meninggalkan biliknya. Tiba-tiba dia terhenti seketika. Suhana yang berjalan di bersebelahan berhenti juga.
“Ada yang tertinggal ker?”
“I lupa Zainal” kata Imran seperti tertinggal sesuatu yang penting sahaja rupanya. “You pergi tunggu dekat lobi, nanti kami jemput, ok?”
“Ala…” Suhana mencebikkan bibirnya. Dia kecewa apabila cita-citanya untuk  makan berdua dengan Imran tidak kesampaian. Tiada peluang untuk dia meluahkan rasa hatinya kepada Imran. Dia sudah kemaruk cinta dengan lelaki tersebut.
“Kesian Zainal. Tadi I dah janji dengan dia”
“Mmm…oklah. I tunggu tapi jangan lama-lama tau”
“OK” Imran menuju ke arah bilik Zainal. Nasib baik dia sempat teringatkan kawan yang seorang itu. Sekurang-kurangnya Zainal boleh dijadikan pelapik sekiranya Suhana berlebih-lebih nanti. Imran pasti rakannya itu tidak akan menolak kerana dia kenal benar dengan rakan yang seorang itu. Apatah lagi skandal seperti ini memang dinanti-nantikan oleh Zainal.

NAJIHAH kembali ketempatnya untuk melihat-lihat jika ada kerja Kak Asmah yang masih belum diserah kembali. Suasana agak sunyi dengan beberapa pekerja tekun menghabiskan saki baki kerja sebelum waktu tamat. Berat hatinya untuk kembali keseberang pejabat di mana bilik ketua barunya terletak. Tengahari tadi ketika dia di pantri seperti biasa untuk makan tengaharinya dia dikerumuni beberapa pekerja termasuk Kelly dan Sandra  yang bertanyakan setiap inci tentang Imran. Jawabnya yang acuh tak acuh hinggakan ada yang mengatakan dia buta jika tidak mengakui kekacakan Imran. Najihah teringat muka mereka yang terkejut apabila dia lebih rela bekerja dengan cik Suhana daripada bekerja dengan Imran. Alasan dia kerana dia lebih menyenangi bos perempuan daripada lelaki. Alasannya itu menyebabkan seorang pekerja memanggilnya dengan perkataan bodoh. Kalau difikirkan sekarang, betapa Najihah akui dia memang bodoh kerana sanggup bekerja dengan lelaki terkutuk itu semata-mata kerana cita-cita yang dikejar. Pelajaran terlalu penting untuknya. Oleh itu bagi Najihah, apabila selesai tempoh praktikal, dia tidak perlu lagi berada di situ dan segulung ijazah akan diperolehi. Najihah buntu kerana memang tidak ada jalan lain lagi untuk dia mengelak daripada Imran.
Fikirannya melayang semula kepada kejadian dulu. Matanya dipejam rapat manakala babak demi babak dimainkan semula.  Keadaannya di atas katil dan pertengkaran antara dia dan Imran. Terasa seperti begitu lama sekali. Najihah memicit-micit kepalanya kerana ingatan kejadian itu memang menyakitkan. Tangannya singgah ke hujung dagu dan dia berhenti seketika. Kesan parut kecil masih ada di situ. Najihah tersedar tiba-tiba. Matanya dibuka serta-merta. Gambar-gambar! Adakah Imran masih menyimpan gambar-gambar tersebut? Dan persoalan yang lebih perit ialah adalah Imran pernah melakukan perkara terkutuk terhadap dirinya? Semakin sukar juga dia apabila memikirkan kemungkinan tersebut kerana seingat Najihah ketika berada di asrama dia begitu takut jika akibat kejadian di bilik hotel menyebabkan dia berkemungkinan mengandung.
Walaupun ketika itu dia masih mentah, tetapi dia tahu melalui pembacaan dan perbincangan yang lalu tentang proses kejadian manusia. Selama berminggu dia menyendiri walaupun banyak kali Johanna cuba berhubungan denggannya. Selama itu jugalah dia seperti mayat bernyawa. Makan, minum dan pelajaran diabaikannya. Dua minggu kemudiannya dia dapat merasai sedikit kegembiraan bila kitaran haid yang ditunggu-tunggu tiba. Sepanjang tempoh tujuh belas tahun, itulah satu-satunya waktu yang paling bahagia pernah dirasai dan dia mula berazam untuk membuktikan kepada keluarga, guru-guru dan rakan-rakan bahawa dia tidak akan mudah mengalah. Dia akan berjaya walaupun disisih mereka yang dikenali. Dia masih ada Allah dan sahabatnya, Johanna.
Mungkin ada alasan yang lebih baik kenapa Allah menemukan semula mereka, fikir Najihah dengan lebih rasional. Mungkin ini ujian untuk melihat samada dia tabah menghadapi dugaan. Mungkin juga dia dapat menyelidik dan mengetahui kenapa Imran sanggup menganiayai dirinya. Satu jawapan penting yang perlu dia ketahui untuk dia meneruskan kehidupan.
Najihah melihat jam di tangan sudah hampir empat petang. Tiada panggilan atau pesanan daripada Imran. Malas rasanya petang ini untuk dia ke sana. Biarkan saja. Kalau dipanggil nanti, dia menurut saja. Najihah mula sibuk melihat komputer.