Thursday, 17 November 2011

Plan C - 2


2

Kau ok ke Chaya?” Azura atau Ula, rakan serumah aku menegurku sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam apartment yang kami sewa bersama. Apartment tiga bilik ini kami sewa dengan seorang lagi rakan sepejabat Ula. Sewa apartment di kawasan Setapak agak murah juga dan aku hanya perlu berjalan hampir sepuluh minit untuk ke stesen LRT. Mujur juga ada LRT. Kalaulah tiada LRT, itu bermakna aku perlu keluar seawal enam pagi untuk mendapatkan bas bagi mengelakkan kesesakan jalan raya supaya tidak terlambat ke pejabat.
            “Kau tak kerja ke Ula?” aku pula menegurnya. Ula bekerja di Jabatan Akauntan Negara.  Pelik juga kerana dia sudah ada di rumah sedangkan selalunya, dialah yang paling lewat sekali balik dari tempat kerja.
            “Aku ambil cuti semata-mata nak beri sokongan moral dekat kau. Err…kau ok ke?’ soalnya lagi.
            Aku terkejut juga dengar pengakuan Ula. Rasa macam nak menangis pun ada. Baik sungguh dia sampai ambil cuti untuk beri sokongan moral kepada aku. Ulalah yang paling rapat dengan aku. Dia bijak sikit sahaja daripada aku. Jadi dia masuk ke Universiti Malaya dan aku pula masuk kolej swasta yang ada di Negeri Sembilan. Bila aku mula kerja di Kuala Lumpur, dia ajak aku tinggal sekali dengannya. Kami satu sekolah rendah dan sekolah menengah. Begitu juga dengan dua orang lagi sahabat baik aku, Erin dan Nadia. Kami berempat sedari kecil lagi memang tidak dapat dipisahkan.
            “Kenapa kau tengok aku semacam? Kau rasa terharu ye sebab ada kawan macam aku?. Aku tahu hari ini hari terakhir kau di situ. Aku ingat nak ambil kau tadi tapi aku rasa kau mungkin perlukan sedikit ruang. Jadi aku tunggu kau di sini. So, kau rasa nak keluar tak? Kita pergi tengok wayang ke atau apa ke so that kau rasa lega sedikit?”
            “Thank you Ula. Kalau aku nak rasa lega, lebih baik aku ke Genting Highlands. Naik roller coster sampai aku pengsan”
            “Kalau kau nak ke sana pun boleh. Aku pun dah ambil cuti esok. Kita boleh pergi sekarang. Nak tak?”
            “Kau biar benar Ula?”
            “Aku serius ni. Apa guna kawan kalau kita susah pun tak boleh tolong?”
            “Mmmm…tapi ada kawan yang jenis makan kawan kan?”
Ula diam sahaja. Aku agak dia fikirkan Nadia. Aku tahu dia pun berbelah bahagi. Nadia pun kawan baik dia juga. Sebenarnya, Ula seperti sudah mengagak yang Nizam sudah main kayu tiga bila aku balik mengadu dulu. Ula ini jenis suka membuat hipotesis berdasarkan fakta-fakta yang diberi. Mungkin dia terlalu fanatik dengan rancangan Oprah Winfrey. Banyak yang dia belajar daripada wanita tersohor itu sebab kalau berbual dengannya, pasti nama Oprah akan disebutnya. Bila aku ceritakan hal aku dengan Nizam, dia kata Nizam mungkin hilang minat dengan aku.  Dia nyatakan fakta-fakta berdasarkan cerita aku. Dia juga ada menyatakan  yang Nizam berkemungkinan ada orang lain. Bila aku dengar kata-kata Ula, aku tidak percaya. Mungkin aku ini lurus  bendul juga orangnya. Lagipun, aku dan Nizam sudah beberapa tahun berpasangan. Mana mungkin ada orang ketiga. Betul juga pepatah Melayu. Aku pun tidak pasti pepatah Melayu yang mana satu. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Kalau tiada Nadia, tiadalah Nizam curang terhadap aku.  Ada lagi satu perumpamaan yang aku percaya sekarang. Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu Nadia. Lagi satu ialah jangan sangka air yang tenang itu tiada buaya. Itu Nizam. Memang buaya. Bukan buaya tembaga tetapi buaya karat. Kurang asam punya kekasih!
            “So? Kau nak pergi tak?” Ula tanya aku lagi.
            “Kalau kau sanggup drive sampai ke sana, aku ok sahaja tapi aku ingat kita pergi pagi esok sajalah. Kalau petang ni, aku dah malaslah. Aku nak duduk rumah”aku balas semula.
            Ula duduk berhadapan dengan aku. Senang sedikit hati aku bila melihat ada orang yang prihatin dan ambil berat terhadap keadaan diri aku sekarang.
            “Family kau dah tahu ke tidak yang kau dah berhenti kerja?”
            “Aku dah beritahu pada Kak Suri sahaja” balas aku ringkas. Kak Suri ialah kakak sulung aku. Kalau aku ada masalah, selain sahabat aku yang tiga atau kini dah jadi dua sahaja, Kak Surilah orang yang pertama yang akan aku hubungi. Aku memang bertuah dapat Kak Suri sebagai kakak kandung aku. Dia bukan sahaja bertanggungjawab dan penyayang. Malah dia juga bersikap terbuka. Dia akan menyokong keputusan aku asalkan aku boleh jawab soalan-soalan dari dia. Contohnya, masa aku telefon Kak Suri untuk beritahu keputusan untuk berhenti kerja, dia tanya aku dua soalan sahaja.
            Kak Suri: “Ada duit untuk survive?”
            Aku: “Ada sampai setahun”
            Kak Suri: “Ada backup plan?”
            Aku: “Ada. Buat part time”
            Kak Suri: “Ok. Do as you think it is important and take care.”
Itulah Kakak sulung aku. Amat praktikal sekali.
            “Jadi kau tak cerita pada yang lainlah?”soal Ula yang sememangnya kenal sangat dengan keluargaku.
            “Aku tak cerita lagi pada Kak Kasih dan papa. Tengoklah nanti” balas aku selamba. Kakak aku yang kedua ialah Kasih. Kak Kasih dua tahun lebih tua dari aku. Orangnya agak pendiam tetapi paling pandai antara kami bertiga. Kami bertiga memang rapat sehinggalah Kak Suri ke India untuk belajar jadi doktor dan kemudiannya Kak Kasih menyusul ke utara Semenanjung. Cuma aku yang malas belajar ini sahaja masuk kolej swasta di negeriku sendiri. Namun, hubungan kami adik beradik masih istimewa juga walaupun kedua-dua mereka sudah berumahtangga. Ketika kecil lagi, kami hanya ada satu sama lain. Papa sibuk bekerja dan Mama pula meninggal dunia sejak aku masih kecil. Pelik sedikit Papa dan arwah Mama berikan nama kepada kami. Suri, Kasih dan Chahaya. Agaknya kalau aku ada adik, silap-silap namanya Ratu atau pun Indah. Nasib baik ibu tiri aku dapat anak lelaki. Tapi pelik juga namanya. Mika.
 Tok Mak, iaitu ibu kepada Papa yang membesarkan kami. Tok Mak garang dan tegas orangnya, tetapi dia sayang sungguh dengan kami bertiga. Sejak dari kecil lagi kami di ajar berdikari dan menjaga diri. Aku amat berterima kasih dengan arwah Tok Mak. Tanpa dia, aku mungkin bukan seperti aku pada hari ini. Aku yang tegas dengan keputusan berhenti kerja. Bukan kerana kecewa bercinta, tetapi kerana manusia perlu berubah untuk lebih berjaya dalam hidup. Itu juga pesan arwah Tok Mak – semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah, Amin.
“Nad ada telefon aku” kali ini kata-kata Ula masuk betul ke telinga. Aku sabar sahaja. Perkara sudah lepas. Aku malas hendak berdendam. Mana tidaknya. Puas lima hari lima malam aku menangis tidak berhenti. Akhirnya, aku rasa keputusan yang paling baik ialah mendoakan kebahagiaan Nadia dan Nizam.
“Apa dia nak?”
“Dia nak jumpa dengan kau”
“Aku tak naklah”
“Tapi kau masih nak kawan dengan dia kan?”
“Kena ambil masa Ula. Mana boleh senang-senang aku kawan balik dengan dia. Dah tikam aku dari belakang, dia nak harap aku baik dengan dia macam dulu. Kalau aku buat dekat kau macam dia buat dekat aku, kau cuba fikir apa rasanya?”
“Takkan kau nak si Malik?” naik sikit suara Ula bila aku sebut tentang Malik. Mungkin Malik kurang kacak berbanding Nizam. Sebenarnya Malik memang kurang kacak. Sekurang-kurangnya Malik baik hati dan aku tahu orang seperti Malik tidak akan curang macam Nizam.
“Aku baru buat contoh saja, kau dah naik suara. Hah! Baru kau tahu sikit apa yang aku rasa” aku membalas.
“Habis tu, kalau dia telefon atau jumpa aku lagi, apa aku nak kata?”
“Kau kata Chahaya kata selamat berbahagia. Itu cara aku bagi greenlight dan maafkan dia dengan Nizam.”
“Mmm…kau benar-benar ok ye Chahaya?”
“Aku ok. Kau jangan bimbang. Aku ada duit simpanan. Insyaallah, aku boleh bayar sewa rumah ni bulan-bulan. Kau janganlah bimbang ok?”
Ula mengangguk. Dia memang tahu aku ada simpanan. Sejak aku di tingkatan lima lagi aku sudah ada akaun KWSP. Aku ikut jejak langkah kakak-kakakku yang selalu buat kerja sambilan bila cuti sekolah ataupun bila kelapangan. Semenjak aku berada di Kuala Lumpur, aku sungguh berjimat cermat. Aku tiada pinjaman untuk bayar kereta atau pun rumah. Kalau keluar dating dengan Nizam, selalunya Nizam yang bayar. Duit aku hanya ke sewa rumah dan belanja aku hari-hari. Awal-awal lagi Papa pesan yang dia tidak mahu duit kami adik beradik. Dia suruh kami guna untuk kegunaan kami sendiri. Katanya, dia pun ada banyak simpanan. Nampaknya keluarga aku memang ada simpanan. Semuanya hasil didikan Tok Mak.
“Terima kasihlah pasal kau selalu ajak aku tengok Oprah Winfrey. Kalau tiada Oprah, taklah aku kenal Cik Suze Orman. Sekurang-kurangnya aku keputusan aku berhenti kerja ini pun atas panduan Suze Orman tu” aku berikan sedikit kredit kepada Ula. Memang dia juga sedikit sebanyak mengajar aku tentang hal kewangan. Ada sekali dia ajak aku buat kerja sampingan jadi wakil jualan Amanah Saham. Kami buat betul-betul. Namun, aku hanya mampu buat dalam enam bulan pertama. Kemudian aku menyerah untuk mencari ahli. Hasilnya aku dapat tiga ahli sahaja dan itu sahaja ahli yang aku layan sampai sekarang. Adalah masuk sedikit untuk lepas makan aku seminggu dua.
“Aku tahu kau ada duit Chaya dan aku sokong tindakan kau untuk berhenti kerja. Aku cuma nak kau tahu yang aku akan sentiasa ada untuk bantu kau. Begitu juga dengan Erin dan aku pasti Nadia pun sama.”
Aku agak Ula masih mahu mencuba untuk aku berbaik dengan Nadia. Baik aku  layan sahaja. Takut dia terasa hati pula.
“Aku tahu. Aku tahu” hanya itu sahaja yang aku tahu nak kata.

No comments:

Post a Comment