Thursday, 17 November 2011

Plan C - 3


3

HAMPIR lima hari aku berkurung di apartment selepas Ula bawa aku ke Genting Highlands. Entah berapa kali aku beratur dan naik roller coaster tetapi aku masih terasa murung juga. Mungkin aku patut keluar dari rumah ini sebagai permulaan hidup baru yang aku inginkan. Falsafah hidup baru aku ialah bebas dari cinta dan lelaki. Itulah plan C aku. Plan A dan Plan B aku gagal dengan cemerlang sekali. Kak Suri selalu pesan jangan buat dua plan sahaja. Mesti ada sekurang-kurangnya tiga plan. A, B dan C. Nasib baik aku membesar dengan mengikut nasihat-nasihat orang yang lebih tua daripada aku. Maka dalam hal bercinta, aku buat tiga plan juga. Aku ingat aku akan lancarkan plan A bila aku di universiti, tetapi cinta datang terlebih awal. Oleh kerana awal, aku tidak anggap ia sebagai Plan A.
            Aku jatuh hati dengan seorang budak lelaki di kejiranan aku. Ketika itu, aku masih lagi di Tingkatan 3. Orangnya tinggi lampai dan putih melepak. Dia setahun lebih tua daripada aku. Namanya Ismail. Nama Papa Ibrahim. Aku berangan, kalau aku kahwin dengan dia suatu hari nanti, seronok dengar orang menyebut ‘itu Ismail menantunya Ibrahim’. Mungkin aku suka cerita Tok Mak tentang pengorbanan Nabi Ismail a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. Sebab itulah bila aku mula berkenalan dengan Ismail, hati aku sudah terpaut. Rupa-rupanya, aku tidak bertepuk sebelah tangan. Sapaan dan senyuman  yang aku berikan setiap kali aku nampak Ismail naik basikal di hadapan rumah Tok Mak, dibalas dengan sapaan dan senyuman juga. Akhirnya, selepas beberapa minggu, Ismail berhentikan basikalnya dan mula berbual denganku.
            Aku dapat rasakan cinta mula berputik. Cintaku yang pertama. Hendak aku katakan cinta monyet, aku sendiri tidak pasti bagaimana monyet bercinta sebenarnya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana perasaan  yang digelarkan sebagai ‘cinta’ itu. Apa yang aku tahu ialah aku tidak sabar untuk berjumpa Ismail dan setiap kali selepas berjumpa aku pasti tersenyum sampai di bawa ke tidur. Sekolah aku dan dia pun agak berdekatan. Kadang-kadang kami jumpa di persimpangan ketika hendak balik ke sekolah. Aku tidak ceritakan kepada sesiapa kecuali Ula. Erin dan Nadia serta kakak-kakak aku pun tidak tahu menahu hal aku jatuh cinta tu. Selang beberapa lama, aku buat keputusan untuk kenalkan Ismail kepada sabahat aku bertiga. Itulah kesilapan pertama yang aku buat. Ismail terus terpana bila melihat Erin. Sejak dari hari itu, bukan kata senyuman Ismail, malah bunyi basikal Ismail pun aku tidak dapat dengar lagi. Bila aku tanyakan kepada Erin, dia kata lebih baik aku jangan menaruh harapan dengan lelaki yang mata perempuan seperti Ismail. Aku pegang kata-kata Erin. Bukan sebab dia kawan baik aku. Dia juga sepupu aku yang paling, paling, paling rapat dan paling, paling, paling aku percaya. Jadi Ismail hanya tinggal kenangan sebagai lelaki pertama yang pernah memaut hatiku.
            Plan A. Cinta yang aku rasa aku jumpa ketika menuntut di kolej pada tahun pertama. Idham. Jejaka dari Kedah. Kami ditugaskan buat assignment bersama dan sejak hari itu kami mula berkawan rapat.  Timbul rasa sayang aku kepada Idham dan aku  mula buat langkah pertama. ‘Saya rasa saya suka awak’. Itulah kata-kata aku kepadanya. Idham hanya membisu. Dia kata dia baru mengenali aku dan dia belum bersedia lagi untuk bercinta. Namun, katanya dia juga sukakan dan hargai persahabatan kami. Namun, dia tidak mahu aku menaruh harapan terhadapnya. Aku sangkakan dia pernah putus cinta. Mungkin dia perlukan masa untuk melupakan cinta terdahulu. Bila dia sudah lupa, aku mungkin akan menjadi pilihannya. Jadi aku pun bersetuju untuk menjadi kawan baiknya sahaja. Kawan baik lelaki pertama aku. Selang beberapa tahun berkawan dan aku mula rapat dengan Nizam, barulah aku tahu siapa Idham sebenarnya dan kenapa dia tidak boleh sambut cinta aku dari mula lagi. Walaupun dia nampak seperti lelaki sejati yang jaga otot badan sentiasa, rupa-rupanya dia ada sedikit kekurangan. Idham lebih selesa berkawan dengan perempuan kerana dia lebih bersifat keperempuanan. Panggilan Idham juga sudah menjadi Eid. Itulah cerita cinta kedua aku.
Kawan tetap kawan. Kami masih berhubungan. Dia juga tahu kes aku dengan Nizam dan kes aku berhenti kerja. Sebagai kawan, dia ajak aku bantu dengan urusan butiknya di Shah Alam. Katanya dia perlukan seseorang untuk buat kerja promosi dan tolong dia dalam projek-projek tertentu. Aku pun tidak pasti kerja apa yang dia maksudkan, tapi Eid minta aku  berjumpa dengannya kalau aku berminat. Awal-awal lagi Eid dah pesan yang upah mungkin tidak banyak. Lagipun katanya, aku tidak akan tertakluk kepada waktu kerja seperti kerja pejabat. Free and easy. Bunyinya aga k menarik. Ada baiknya aku jumpa Eid sementara aku fikirkan apa yang aku mahu lakukan seterusnya dalam hidupku ini.
Aku menyisir rambut yang sudah separas telinga. Tiga hari lalu, rambut aku melepasi bahu. Aku simpan rambut panjang bertahun lamanya. Konon-konon aku mahu kelihatan ayu bila keluar dengan Nizam. Tapi pelan aku tak menjadi. Rambut aku juga jadi mangsa. Aku telek cermin semula. Aku tarik baju kemeja petak hitam putih labuh paras lutut yang aku padankan dengan seluar panjang sendat sehingga menampakkan susuk tubuh badanku. Bukan tidak ada bentuk. Pinggulku menarik. Pinggangku ramping dan dadaku walaupun saiz C, masih ada keindahannya. Aku lihat wajahku di cermin. Paras rupa pun boleh tahan juga. Berambut pendek atau berambut panjang, aku masih ada rupa yang menarik tetapi kenapa Nizam beralih arah. Apa beza antara aku dan Nadia? Paras rupa hampir sama saja. Bentuk badan dan ketinggian pun lebih kurang sama. Jadi, apa kelebihan Nadia yang aku tiada? Mungkin kelincahannya atau kenakalannya atau pun saiz D miliknya. Memang Nadia lebih lincah berbanding aku yang lebih praktikal. Mungkin itu yang memikat hati Nizam. Tambahan pula, Nadia memang pandai bergaya. Sesiapa pun pasti terpikat dengannya.
Aku tidak nafikan antara kami empat bersahabat, aku mungkin akan dapat tempat ketiga dalam pertandingan kategori cantik dan bergaya. Tempat pertama pasti dimenangi oleh sepupuku Erin. Sepupu dan sahabat baik aku itu ada pakej yang amat lengkap. Selengkap namanya, Puteri Erina Alisa. Mama Erin ialah adik Papaku. Abah Erin pula keturunan raja-raja. Aku tidak pasti Trengganu atau pun Johor. Apa yang pasti, Uncle aku itu ialah lelaki paling menawan yang pernah aku lihat ketika aku kecil dahulu. Erin warisi genetik kecantikan keturunan Abahnya. Siapa yang tidak kenal dengan Erin ketika sekolah dahulu. Cantik, kaya, peramah dan serbaboleh. Ramai yang ingin berkawan dengannya dan aku tidak nafikan yang ramai juga membenci dirinya. Bagi aku yang lebih mengenali Erin sejak kami masih memakai lampin lagi, aku tahu dia seorang yang baik hati. Mungkin kerana keadaan dirinya yang serba serbi lengkap, orang mungkin salah anggap akan dirinya. Selepas tingkatan lima, Erin terus mohon bekerja dengan MAS. Sekarang dia sudah jadi pramugari yang terbang hampir ke seluruh dunia.
Nadia sudah pasti orang yang kedua mendapat perhatian lelaki selepas Erin kalau kami keluar bersama-sama. Dia lebih dua inci daripada ketinggian 5’4” aku. Selepas tingkatan lima, Nadia menerima biasiswa dan melayakkan dirinya menuntut ke luar negara. Dia ke Melbourne, Australia. Bila dia balik ke Malaysia, dia terus bekerja dengan salah sebuah syarikat telekomunikasi. Penolong Pengurus, Channel, Marketing and Sales. Itulah jawatan yang tertera di kad bisnesnya. Aku pernah nampak Nizam membelek kad bisnes itu ketika aku bawa Nizam keluar melepak dengan sahabat-sahabat aku. Mungkin Nizam dan Nadia punya minat yang sama. Sebab itulah Nizam lebih serasi dengan Nadia yang berkongsi minat yang sama.
Ula ialah sahabat yang selalu berpasangan dengan aku. Kalau dalam kelas, aku selalu duduk sebelah Ula manakala Erin akan duduk dengan Nadia. Dialah tutor tidak bertauliah kami bila kami menelaah bersama kerana dia yang paling bijak antara kami semua. Dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan kini sambil bekerja, dia juga belajar sambilan di universiti yang sama untuk Ijazah Sarjana. Aku memang kagum dengan orang seperti Ula. Walaupun dia  nampak macam anak cina dengan rambutnya yang lurus dan mata yang sedikit sepet, Ula tetap manis dan menawan. Malah semakin menawan pula sejak dia bercinta dengan Malik.
Ula sudah ada Malik dan Nadia sudah ada Nizam. Erin pula bakal bertunang dengan Ikram, juruterbang MAS yang berjaya menambat hatinya. Nampak gayanya aku seorang sahaja yang keseorangan. Plan B aku tidak menjadi. Nampak gayanya aku perlu laksanakan Plan C, iaitu pelan untuk menjadi wanita yang bebas tanpa sebarang ikatan dan komitmen. Bukan dengan cara hidup ala-ala hippies tahun 70-an dahulu. Aku masih perlu bekerja untuk menampung kehidupan aku. Tidak kisah kalau gaji yang kecil pun asalkan aku dapat sesuatu yang lebih besar daripada itu. Aku sudah dapat bayangkan diri aku di masa hadapan walaupun aku belum pasti lagi kerja apa yang aku akan lakukan di masa hadapan. Apa yang aku bayangkan ialah aku akan mengambil kerja berdasarkan projek. Mungkin sesuatu berkaitan dengan IT atau pun sesuatu yang baru. Cara komunikasi aku kebanyakannya melalui Internet, jadi aku tidak perlu keluar selalu. Kalau keluar pun, mungkin aku tidak perlu berebut-rebut dengan orang ramai yang bekerja di waktu pejabat. Aku akan mengambil masa aku sendiri dan penampilan aku juga ikut suka hati aku tanpa perlu risau samada orang yang aku jumpa itu suka atau tidak dengan gayaku.
Menurut kata Ula yang mengambil kata-kata nasihat seorang pakar dalam rancangan Oprah, kalau aku ingin laksanakan pelan baru, aku perlu tukar sesuatu dalam diriku. Bila perkara itu berjaya, barulah aku mampu untuk lakukan apa sahaja. Mulai hari ini, aku berikrar bahawasanya cinta dan mencari lelaki untuk dicintai itu tidak penting lagi dalam hidupku. Kalau boleh, aku harus lupakan lelaki yang mungkin akan muncul dalam hidupku dan mahu menagih cinta dariku. Namun begitu, aku masih diberi kebebasan untuk melihat sahaja. Melihat tanpa sebarang perasaan.


3 comments:

  1. hrmm...i think i should have plan c too?

    ReplyDelete
  2. hurmm....erin,nadia,ula...lawa sgt ke????

    ReplyDelete
  3. ikut ranking...sy paling lawa...hahahahhaha...

    ReplyDelete