Wednesday, 16 November 2011

Jia - 2

2

Haris membelek-belek majalah ‘In Style’ dengan penuh minat. Kalau diikutkan, majalah itu bukan pilihannya untuk dibaca, tetapi ia nampak lebih baik daripada majalah lain yang tersusun diatas meja rehat di tepi kolam renang banglo mewah keluarganya. Lagi pun wanita yang menjadi penghias kulit majalah adalah salah seorang selebriti yang dia minati. Sekali sekala dia melihat ke kawasan yang menghubung ruang makan dan kawasan kolam  kalau-kalau Mamanya sudah muncul dari situ . Walaupun dia sudah tidak tinggal di situ sepanjang masa, dia masih mempunyai bilik sendiri di mahligai yang begitu indah ini. Dia akan ke sini hampir setiap hari samada untuk makan tengahari atau pun makan malam bersama Mama. Kadangkala mereka sekeluarga berkumpul walaupun sibuk dengan kerjaya dan tugas masing-masing.
Semua majalah ini tentu milik Misya, adik perempuannya yang selalu menghabiskan waktu untuk bersantai atau melakar inspirasinya di tepi kolam.  Misya dan kolam renang memang tidak dapat dipisahkan. Malah adiknya itu banyak kali telah mewakili sekolah dan daerah dalam pertandingan renang. Haris mengangkat kepala apabila pintu balkoni ke kolam renang dibuka. Mak Cik Intan atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Bi sedang menolak sebuah kerusi roda. Mamanya sentiasa tersenyum. Hari ini Mama memakai blaus putih berenda dan skirt labuh yang bermotifkan daun-daun hijau.
“Hi sayang” tegur Mamanya. Pn Zahra sentiasa gembira melihat anak bujangnya yang seorang ini. Kalau sebarang temujanji, Harislah yang akan tiba lebih awal dari yang lain. Suaminya, En Zaid sedah beberapa minggu berada di luar negara. Pn Zahra menunggu seorang lagi anaknya untuk bersama-sama mereka.
“Hi Ma..” kataHaris sambil pergi dan membongkok memberi ciuman ke pipi kanan mamanya.
“Biar Aris tolak mama, Cik Bi”.
Cik Bi hanya tersenyum. Walaupun Haris sudah hampir pertengahan 30-an, tapi dengan Cik Bi, dia masih lagi menggunakan nama kanak-kanaknya. Cik Bi telah bersama dengan keluarga itu lebih daripada dua puluh tahun. Pada mulanya Cik Bi merupakan pembantu peribadi Pn Zahra. Mamanya pula ketika itu merupakan salah seorang orang kanan Papanya. Kemudian, apabila Puan Zahra lumpuh, Cik Bi dengan sukarelanya membantu untuk menjadi jururawat tidak rasmi tanpa meminta sebarang balasan. Cik Bi yang berada dalam lingkungan usia yang hampir sama dengan Mama cukup rapat dengan mereka dan memahami bukan sahaja keperluan Mama tetapi juga Haris dan adik beradiknya.
“Puan dengan Aris tunggu ya, biar Cik Bi ambilkan air. Kejap lagi Adam akan turun. Dia tengah solat masa Cik Bi jenguk ke biliknya” beritahu Cik Bi. Sehingga kini Cik Bi masih lagi menghormati Pn Zahra walaupun beribu kali panggilan Puan itu tidak disetujui mereka sekeluarga. Namun kerana sudah menjadi kebiasaan, dibiarkan sahaja panggilan Puan itu sehingga ke hari ini.
“Mama nak duduk di sini?” tanya Haris sambil menunjukkan kerusi rehat berwarna kuning berbelang putih.
Mamanya menggangguk. “Biar Aris angkat Mama ya.”
“Sayang, Mama nak jalan…..” Puan Zahra meletakkan kaki ke tanah. Haris menghulurkan tangannya sebagai tempat berpaut. Puan Zahra berdiri dan melangkah perlahan-lahan. Walaupun jarak kerusi hanyalah dua tiga langkah tapi kemampuannya untuk berjalan sudah cukup mengembirakan. Haris juga bangga dengan kesungguhan Mamanya yang lumpuh separuh badan akibat serangan strok hampir lapan tahun yang lalu.
“Mama ok?”
“Ok sayang. Biar Mama tarik nafas sikit. Jalan selangkah dua pun kadang-kadang penat” Pn Zahra menarik nafas dalam-dalam.
Breath in breath out” ujar Haris sambil menunjukkan cara-cara menarik nafas. Pn Zahra tersenyum sambil menarik nafasnya. Dia duduk di kerusi sambil membetulkan kain skirtnya.
“Pandai anak Mama ni. Belum kahwin lagi dah pandai cara nafas untuk orang perempuan nak bersalin. Aris dah ada calon ke?”
Haris menjawab seperti sedikit sedih. “Dah ada, tapi ada masalah sikit.”
 “Masalah?” Pn Zahra hairan. “Masalah macam mana pula? Kalau Aris dah suka, buat apa nak tunggu lagi. Nak Mama tolong pinangkan?”
“Aris tak rasa Mama boleh tolong kali ni?”
“Kenapa pula?” bertambah hairan Pn Zahra. Dia memandang anaknya dengan penuh kerisauan.
“Dia dah kahwin. Aris frust Mama. Ni gambarnya…”sambil menunjukkan Majalah In Style yang sudah diletakkan di atas meja sebentar tadi. Gambar Heidi Klum. Model terkenal dari Negara Barat. Haris ketawa melihat muka ibunya yang menahan geram.
“Anak mama ni. Kalau nanti Aris dah suka tapi orang tu tak suka Aris, jangan cari Mama, ok?” dengus Pn Zahra sedikit geram dengan perangai anaknya itu.
“Mama, Aris gurau saja”
“Bab nikah dan kahwin ni jangan gurau-gurau. Mama dah lama teringinkan seorang menantu”
“Kalau hal menantu, Mama minta dari Adam sajalah. Lagi satu, Mama ada tanya Adam kenapa dia balik ke sini tiba-tiba?” soal Haris tentang adik lelakinya Adam Imran yang baru sahaja seminggu dua balik dari England sudah menunjukkan banyak perubahan. Salah satu yang dimaksudkan ialah adiknya itu sudah rajin bersolat. Kalau dahulu, dia agak payah juga untuk melihat adiknya mengibar tikar sejadah, tetapi sejak kebelakangan ini, lain pula dia lihat. Malah ketika dia berkunjung melawat Imran di England dua bulan yang lalu, adiknya lebih suka melepak di rumah daripada daripada keluar bersosial seperti yang dia biasa lakukan. Takut juga kalau perubahan itu melibatkan sesuatu yang dirahsiakan oleh Adam Imran daripada pengetahuan mereka sekeluarga.
“Mama belum tanya lagi. Nantilah bila ada masa yang sesuai, Mama akan soal siasat. Dari perhatian Mama, Adam tu tak ada apa-apa. Mama tengok dia macam biasa saja. Mungkin dia diam sedikit daripada biasa. Aris jangan bimbanglah. Insyaallah, tak ada apa-apa tu”
“Mama tolong tanyakan. Bukan Aris tak mahu ambil tahu, tapi dengan Mama, Adam tu mudah nak luahkan. Lepas tu….” Belum sempat dia meneruskan, suara lelaki kedengaran.
“Hi Darling. Dah lama tunggu?”  tegur Adam Imran sambil mencium tangan Puan Zahra lalu duduk berhadapan dengan dua orang yang paling penting dalam hidupnya.
Puan Zahra membalas dengan memegang tangan anak teruna keduanya.
“Mama nak tanya, Adam dah buat keputusan ke?”
Yes Mama. Adam akan ke KL” jelas Adam Imran tanpa berdolak dalik lagi.
Pn Zahra hanya mampu tersenyum, tapi Haris nampaknya kurang senang dengan keputusan adiknya.
“Kau dah fikir masak-masak?” tanya Haris.
Puan Zahra hanya mendengar perbualan kedua-dua anaknya.
“Adam dah fikir agak lama juga, abang”
“Tapi, Prime Capital needs you
Not really. Prime Capital ada Papa dan abang.  I think both of you is enough to run the company.” 
Perbualan mereka terhenti kerana pada masa yang sama Cik Bi muncul dengan seorang pembantu rumah yang membawa beberapa gelas air. Mereka mengajak Cik Bi untuk duduk bersama tetapi dia hendak masuk ke dalam kerana ada perkara yang hendak dilakukan. Selepas menghidangkan minuman dia meninggalkan anak beranak itu berbual.
Haris masih tidak puashati dan meminta bantuan ibunya. “Ma, please advise him.”
Puan Zahra ketawa kecil. “Nak advice apa Ris. Adam kan dah besar panjang. Dia dah balik ke sini pun Mama dah cukup happy.”
“Mama ni always on his side” rungut Haris. Kadangkala dia cemburu juga dengan Mama selalu menyebelahi Adam Imran walaupun dia tahu kasih sayang Mama tidak berbelah bahagi. Kalau Mama belikan dia hadiah kereta kawalan jauh, Adam Imran juga akan dapat hadiah yang serupa. Kalau Adam Imran didenda tidak boleh keluar bermain selama tiga hari kerana bergaduh dengannya, dia juga mendapat denda yang sama. Kalau pasal pilihan, selalunya Mama akan longgarkan sedikit kepada Adam Imran. Mama selalu bertegas dengannya. Kalau Adam Imran mahu belajar berenang daripada bermain bola, boleh saja, tapi kalau dia yang minta, dia kena buat dua-dua sekali. Memang nampak macam tidak adil.
“Mama bukan taking side Sayang. Selama ni Mama ikut sahaja kemahuan anak-anak Mama asalkan apa yang dibuat tu baik. Dalam hal Adam, Papa pun dah give up long, long time ago. Lagi pun, Papa ada mentioned to Mama yang Haris semakin bagus dengan syarikat. Kalau Adam nak join, it is up to him. Mama, Papa or even you cannot force him”.
“Thanks Ma” senyum Imran mendengar kata-kata ibunya.
“Papa cakap macam tu so that I will run the company and he’ll be happy with his honeymoon…” Haris menarik nafas, terkejut dengan kata-katanya sendiri. Dia melihat Mamanya.
“Maafkan Aris mama, Aris terlepas cakap…tak sengaja”
Puan Zahra memandang anaknya. “Mama ok. Lagi pun ini bukan kali pertama Papa kahwin lain kan….” Kemudian pandangannya dilepaskan ke arah kolam renang. Imran mengangkat tangan menunjukkan penumbuk ke arah Haris, manakala Haris pula menepuk dahi tanda bersalah.
“Sorry mama, Aris betul-betul mintak maaf” Haris bangun dari kerusi, duduk di sebelah dan memeluk mamanya dari belakang.
“Mama…” sapa Adam pula. “Apa-apa pun Aris dan Adam akan sentiasa ada untuk mama. You are the most important person  in our life. In fact much more important than Papa, but please don’t tell him about this or he’ll be upset like a little boy.” sambung Adam melawak sedikit.
“Adam, Mama ok. Mama tahu anak-anak Mama sayangkan Mama. Tapi ada satu dua perkara yang buat Mama risau. Kenapalah anak-anak mama ni masih lagi belum kahwin? Mama bukannya muda lagi. Teringin nak dapat cucu. Baru meriah sikit rumah kita ni”
Serentak Adam Imran dan Haris merungut.
“Misya pun sayang Mama!” jeritan suara seorang gadis mengejutkan ketiga-tiga beranak. “Amboi, ada family gathering tak jak Misya pun.”
“Kata ada kelas tadi” balas Puan Zahra.
Cancel. Boleh Misya join sekali”
“Opss..nanti dulu,” usik Imran. “kalau nak join, Misya pergi dapur, ambilkan abang cookies dan bawak ke sini”.
“Ala .. tu suruh Cik Bi la. Ha itu pun Cik B. Jap, Misya jerit. Cik Bi!!!”
“Ya Allah, budak ni. Awak tu perempuan. Jaga la sikit kelakuan tu” tegur Puan Zahra.
“Dengar tu. Nanti sampai tua tak ada yang berkenan” usik Imran lagi. Semuanya ketawa.
Puan Zahra melihat ketiga-tiga anaknya. Misya baru sahaja menyambut hari lahir yang ke sembilan belas tetapi dia masih adik perempuan kesayangan Haris dan Adam Imran. Keluarga mereka memang nampak sempurna sekali, tetapi tidak ramai yang tahu bahawa mereka bertiga bukanlah dari rahim yang sama. Ya, itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan oleh Puan Zahra. Cerita keluarga mereka memang agak rumit dan kadangkala sukar untuk orang yang baru mengenali akan faham tentang keluarga mereka.
Adam Imran adalah anak Zaid dari isteri pertamanya, seorang rakyat British. Perempuan kacukan Indonesia-Inggeris itu akhirnya mengambil keputusan tidak mahu meneruskan perkahwinan setelah kelahiran Imran kerana dia lebih mementingkan kerjayanya sebagai seorang peguam. Haris pula adalah anaknya sendiri dengan suami yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika Haris masih di dalam kandungan. Ketika itu, Zahra bukan sahaja merupakan pegawai pembantu pemasaran kepada Zaid, malah lebih kepada seorang kenalan rapat. Ketika Haris berusia dua tahun, Zaid telah datang dengan bayi yang comel bernama Adam Imran dan mencadangan agar kedua mereka berkahwin supaya kedua-dua anak itu ada ibu dan bapa.  Pada mulanya dia kurang bersetuju dengan cadangan itu, tetapi setelah diyakinkan Zaid bahawa penyatuan mereka akan menguntungkan kedua-dua belah pihak, dan dia pula rasa tidak akan kehilangan apa-apa,  maka dia telah bersetuju dan membesarkan Adam Imran seperti darah dagingnya sendiri.
Sehingga kini Zahra masih lagi tidak dapat memahami bagaimana dia menerima cadangan itu dan berkahwin dengan Zaid tiga bulan kemudiannya. Walaupun mereka seperti kawan baik, Zahra tahu, dia telah jatuh cinta dengan suaminya itu. Cinta itulah yang memberi kekuatan kepadanya untuk menyayangi Adam Imran sama seperti dia menyayangi Haris. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang lagi anak lelaki yang diberi nama Alif Haikal. Ingatan Zahra kembali kepada anaknya yang seorang itu. Sehingga kini dia bersyukur diberikan peluang untuk melahirkan dan membesarkan Haikal walaupun anaknya yang seorang itu telah kembali kepangkuan Ilahi.
Mungkin Zaid bukan seperti lelaki lain. Dia bukan sahaja mampu dari segi kewangan, malah dia juga mampu menyayangi lebih dari seorang perempuan. Demi cinta jugalah, Zahra merelakan suaminya berkahwin dengan Maria. Malah dia turut menyayangi anak-anak Maria, Misya dan Mazni tanpa berbelah bagi. Kini cintanya juga turut merestui perkahwinan keempat Zaid dengan seorang model muda bernama Zila.
Pn Zahra tidak rasa kesunyian. Sekurang-kurangnya dia ada Haris dan Adam Imran. Alangkah beruntungnya mempunyai anak-anak lelaki yang bukan sahaja menyayangi dirinya tetapi juga cukup menarik perwatakan dan perawakan. Ketika kedua-duanya meningkat remaja, telefon di rumah sibuk dengan panggilan gadis-gadis yang ingin berkenalan atau berbual dengan mana-mana anak terunanya itu. Sayangnya, sampai sekarang kedua-dua buah hatinya itu masih belum terbuka hati untuk berumahtangga. Walaupun usia si abang hanya dua tahun lebih tua dari si adik, mereka begitu akrab sekali. Dari segi rupa paras dan perwatakan memang ketara berbeza. Walaupun kedua-duanya hampir sama tinggi, siabang gelap orangnya manakala siadik agak cerah. Si abang lebih tegas berbanding adiknya yang lebih berjiwa bebas. Haris mewarisi rupa paras arwah suami pertamanya manakala Adam punya kedua-dua campuran wajah ibu dan bapanya. Haris mempunyai sepasang mata yang redup dengan pandangan yang tajam manakala mata Imran pula lebih menawan ditambah pula dengan bulu mata yang lebat dan panjang. Tetapi antara kedua-duanya, tentulah Adam Imran yang lebih menyerlah kerana hanya dengan sekali pandang sahaja, orang akan tahu dia berdarah campuran.
Mama, are you ok?” tenguran Misya menyedarkan dia dari lamunannya. Pn Zahra tersenyum. Suaminya sudah pun rasmi bercerai dengan Maria beberapa tahun yang lalu tetapi anaknya yang seorang ini lebih mengasihi dirinya daripada ibunya sendiri. Mungkin kesibukan Maria sebagai seorang usahawan menyebabkan dia tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada kedua-dua anak perempuannya. Sejak dari kecil, Misya dan Mazni sudah menagih kasih daripadanya. Malah di banglo ini sudah ada bilik rasmi kedua-dua anak perempuan itu. Mazni kini sedang di sekolah asrama di Negeri Sembilan. Kalau diikutkan hati tentu dia akan berkunjung selalu supaya Mazni tidak rasa tersisih. Tapi apakan daya, keadaan kesihatan diri tidak mengizinkannya.
“Hari tu Misya pun kata nak ke Kuala Lumpur? Bila Misya nak ke sana?” soal Pn Zahra
“Kenapa nak kesana?” tanya Haris kehairanan kerana kali pertama dia mendengar berita ini. Adam Imran hanya mendengar.
“Misya terpilih kena buat projek fesyen di Lim Kok Wing. Tapi tarikh tak tentu lagi. Mungkin sebulan dua lagi. Lepas tu Misya kena tinggal kat sana sebulan lebih sampai projek siap”
“Misya tinggal di mana?” soal Haris sekali lagi kerana agak bimbang adiknya itu tidak tahu menahu tentang kehidupan di KL yang perbagai cerita dengan manusia perlbagai ragam. Kalau di Johor ini pun lebih kurang juga ragam manusia, tetapi sekurang-kurangnya ada ramai yang boleh menjaganya di sini.
“Buat sementara rumah kita kat Damansara.”
“Abang pun akan ke sana juga minggu depan.  Jadi abang masuk rumah dulu. Nanti Misya dah sampai, just call abang saja” jelas Imran.
“ Itu tak jadi problem. Masalahnya, Misya tak pasti lagi macam mana nak ke Cyberjaya sebab Lim Kok Wing di situ.”
You can drive there” kata Adam Imran.
“Err…Misya tak confident la nak bawak kereta.” Tiba-tiba muka Misya berubah “Anyway, Misya nak minta permision Mama and abang” katanya perlahan.
“Apa dia Misya?” soal Pn Zahra
“Kawan sekolej Misya, Razman. Can he drive me there during my stay?” tanya Misya mengharap.
Mata Haris terbeliak. “Razman, siapa tu? boyfriend ker? Sejak bila pula adik abang dah pandai berboyfriend ni? Kenapa tak cakap ada boyfriend ” bertalu-talu soalan dari Haris.
“Haris!” tegur Pn Zahra.
Misya hanya ketawa . Abang sulungnya ini memang kaki mengawal. Tapi kalau abang Adam buat sesuatu, dia tak kisah, tapi kalau dia atau Mazni hendak buat sesuatu atau pergi kemana-mana, memang banyak soalnya.  Misya terbayangkan Razman yang cukup lemah lembut itu.
“Apa la abang Haris nih. Razman tu bukan boyfriend Misya” terangnya.”Dia tu macam girlfren Misya tau!. Kalau Misya bawak sini, takut pulak dia tackle abang Haris ke atau abang Adam sebab dia memang minat lelaki handsome macam abang”
Tersembur air yang diminum Adam. “Lawa ker Misya?” tanya Adam.
Tergelak besar Misya. “Aper la abang ni. Nanti sebelum pergi, Misya bawa dia kenalkan pada semua. Cuma tiga orang di kolej yang terpilih. Misya, Razman dan seorang lagi budak perempuan”
“Abang Adam ok kalau dia drive Misya masa di KL. Tapi kalau nak kenalkan, by all means introduce him to Haris
“No way” sampuk Haris. “ Abang ok Misya. Introduce to Mama je lah”
Misya ketawa dengan jawapan kedua-dua abangnya. Puan Zahra hanya tersenyum. Alangkah gembiranya kalau setiap hari suasana semeriah seperti ini.

SELEPAS  makan malam, Imran mengangkat mamanya duduk di sofa berbentuk ‘L’ di ruang keluarga. Dia angkat kaki Mamanya supaya dilunjurkan ke atas sofa. Imran pula duduk di antara ruang L berlapikkan karpet tebal. Kemudian, dicapainya alat kawalan TV dan Astro. Rancangan Discovery Channel terus tersiar di skrin sebesar 42 inci dengan sistem bunyi yang canggih dan moden. Dia perlahankan sedikit bunyi supaya Mama boleh berehat. Malam ini dia buat keputusan untuk keluar lewat sedikit. Haris awal-awal lagi sudah pun keluar berjumpa kawan –kawan mereka.
Misya pula sedang berada di bilik bacaan bersebelahan dengan ruang keluarga. Katanya dia perlu gunakan komputer di situ untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan di talian Internet sambil membuat kerja dengan komputer ribanya.
“Betul ke Adam nak ke KL minggu depan?”  tanya Pn Zahra
“Apa Mama?” Adam Imran kurang jelas lagi. Dia terus perlahankan suara TV.
            “Ke KL, bila?” ulang Puan Zahra.
Imran pusing mengadap ibunya. Walaupun Puan Zahra bukan ibu kandungnya, tapi itulah satu-satu ibu yang dikenalinya sejak kecil lagi. Walaupun dia masih berhubungan dengan ibu kandungnya yang berada di England, tak mungkin kasih sayang yang telah dicurahkan oleh Pn Zahra dapat ditukar ganti.
“Adam pergi hari Rabu nanti. Adam dah arrange dengan PA Haris untuk sediakan kondo di Damansara tu. Lagipun nanti bila Misya stay di sana, boleh Adam tengok-tengokkan dia”
“Adam naik flight atau drive?”
“Adam drive Mama. Senang sikit nak bergerak” tiba-tiba Adam tergelak kecil. “Adam ambil Austin Papa.” Dia ingat itulah kereta yang dia paling dia suka sekali sejak dia mula-mula dapat lesen kereta tetapi Papa selalu saja memberi alasan supaya dia tidak naik kereta itu. Ada sekali Papanya menyembunyikan kunci kereta semata-mata tidak mahu dia bawa ketika dia sudah pun ada pengalaman lebih tiga tahun memandu. Dia berjaya akhirnya naik kereta itu tujuh tahun yang lepas. Sehingga itu, setiap kali dia balik bercuti, dia akan menggunakan kereta yang selalu tersadai di hujung tempat meletak kereta-kereta Papanya.
“Oh Adam, not that car. Itu kan kereta yang Papa paling sayang” terbeliak mata Pn Zahra mengetahui kereta yang diinginkan anak lelakinya itu.
“Tapi kereta tu dah lama…lagipun Papa tak akan sedar kereta tu tak ada. Biarlah Ma. Bila papa sedar kereta tu dah  hilang baru dia tahu betapa pentingnya kereta tu. Like you mama. One day papa will realize that you are the most important woman in his live.” Lembut dan sayu suara Imran.
“Terima kasih. Pandai anak Mama ambil hati Mama. Janji tau, jaga kereta tu baik-baik. Mama takut kalau jadi apa-apa to that car,  sekali dengan Mama yang kena marah.”
“Ya Puan”  tabik Imran. “ Adam janji Adam akan jaga macam adam jaga girlfriend Adam sendiri. Opps …Adam masih single lagi, mana ada girlfriend”
“Ni lagi satu Mama nak tanya. Mama bukan nak menyibuk tapi Mama cuma nak tahu Imran sebenarnya balik Malaysia terus ke atau sementara sahaja?”
“Entahlah Ma. Adam sendiri pun tak pasti. Tengoklah bagaimana seterusnya”
“Mama tak kisah sebab Mama tahu Adam pergi mana-mana pun suatu hari Adam balik juga. Mama nak juga tahu kenapa anak Mama tiba-tiba letak jawatan, lepas tu tiba-tiba balik Malaysia. Aris pun kata Imran dah banyak berubah. Dah kenal tikar sembahyang semula. Bukan Mama nak mengadu tentang tu, tapi kalau ke arah yang baik, Mama syukur sangat-sangat.”
Nothing happens Ma. I am just tired. Adam pun tak tahu nak cerita apa dengan Mama. Suatu hari masa Adam pergi kerja, tiba-tiba Adam rasa macam hidup ni kosong sangat. Jiwa Adam pun rasa tak tenteram. Adam singgah di masjid berdekatan. Lepas tu Adam buat solat Dhuha. By the way Ma, Adam still knows how to pray. You taught us how. Lepas solat, Adam rasa tenang sedikit. Lepas tu Adam fikirlah sendiri apa yang buat Adam happy. Adam dapat dua gambaran saja. Satu Adam gembira bila Adam di Malaysia. Kedua  I feel like I want to try something new. Perhaps something that I have long want to do.”
“Lega Mama dengar Adam cakap macam tu. Aris sampai takut kalau-kalau Adam sakit ke. Cara Adam cakap macam benda baru yang Adam nak buat tu bukan dengan company Papa saja? Adam nak cuba sesuatu yang berkaitan dengan kereta ke?”
Imran menutup matanya agak lama sebelum buka semula. “Nope and Yes. Adam nak cuba buat business yang berkaitan dengan kereta. Mama pun tahu Adam memang sukakan kereta. Tentang perniagaan Papa, Adam tak mahu masuk campur dalam urusan tu. Abang Haris yang patut ambilalih. Kalau Adam nak bantu pun, Adam boleh bantu dari segi khidmat guaman. Itu Adam tak ada masalah.”
“Haris dah tahu niat Adam ni?”
“Belum lagi. Biar Adam buat betul-betul kertas kerja sebelum Adam bincang dengan Haris. Sementara Adam di KL nanti, bolehlah Adam tinjau juga perniagaan yang Adam nak tu di sana. Tengok macam mana pemasaran di Kuala Lumpur.”
“Apa-apa pun, make sure Papa pun tahu. Mama tak mahu dia mengamuk lagi kalau Adam buat suka hati Adam saja. Lagi pun Adam pun tahu Papa tu macam mana kan?”
“Bahagian tu Mama jangan risau. Adam ada abang. Dia yang akan beritahu Papa nanti. Atau Mama sendiri beritahu Papa nanti. Kalau Mama yang cakap, Adam sure seratus peratus Papa tak boleh nak cakap apa-apa. Maklumlah, kalau dalam rumah ni, Mama kan QC – queen control”
            Puan Zahra menarik telinga anaknya  yang nakal itu. “Pandai cakap Mama queen control. Mama kontrol pemakanan Papa saja takut dia darah tinggi atau kencing manis. Dah sambung tengok TV tu. Tolong panggilkan Cik Bi. Mama ingat nak berehat di dalam bilik awal sikit malam ni.”
No need. Biar Adam tolong Mama. Lagi pun mungkin Cik Bi tengah berehat dalam bilik tu..”
“Baiklah. Kalau macam tu nanti Adam tolong ingatkan Misya jangan tidur lambat. Esok dia kena ke kolej. Takut nanti jadi macam hari tu, tertinggal dia satu hari sebab tertidur.”
            “No problem Ma. Adam ingat kejap lagi Adam keluar jumpa Abang dengan kawan-kawanlah. Dah lama tak lepak dengan diaorang”

KERETA Austin meluncur perlahan keluar daripada kawasan rumah mewah yang kebanyakannya didiami oleh keluarga-keluarga ahli perniagaan atupun hartawan. Imran menuju ke kelab yang biasa di kunjungi Haris di hujung minggu. Haris dan dia berkongsi kawan sejak mereka kecil lagi. Kawan yang sehingga kini masih lagi berhubungan ialah Nazrin dan Jeremy. Mereka berkenalan di sekolah rendah dan rapat ketika dihantar bersama-sama ke sekolah Outbound untuk bina jati diri.
Keluarga mereka sepakat menghantar mereka ke sekolah persendirian di Singapura. Mereka masuk selama setahun sahaja kerana ada sahaja masalah yang timbul. Akhirnya mereka habiskan pelajaran di sebuah sekolah yang berprestij di Johor Bahru. Imran pasti kedua-dua member kamcingnya pasti ada di sana. Mungkin juga ada beberapa orang gadis yang akan melepak sekali. Maklumlah, kalau ketiga-tiga hero bandar itu berkumpul, pasti ada sahaja yang cuba rapat. 

No comments:

Post a Comment