NAJIHAH menyusun buku-buku di bahagian komputer dengan penuh konsentrasi. Dia ringan tulang untuk membantu bila berkesempatan sedangkan kerja itu bukan lagi tugasnya di kedai buku milik Puan Aisyah, ibu saudara Johana. Sejak dia ada latihan amali, dia sudah berhenti kerja kerana ketiadaan masa. Namun, setiap hujung minggu dia akan ke sini untuk membantu dengan sukarela dan pada masa yang sama dia boleh membuat ulangkaji atau membaca buku yang sedia ada di depan mata. Puan Aisyah pula amat memahami yang kadang-kadang dia perlukan rujukan untuk tugasan kelas yang mana boleh diperolehi secara percuma di kedai itu. Jadi, dengan persefahaman itulah dia tidak kisah ke situ setiap hujung minggu untuk membantu. Tambahan pula, mereka yang bekerja di kedai itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
Ketika dia mula-mula bekerja di situ, tugas menyusun buku-buku adalah di antara tugas utamanya. Kedai itu agak besar juga dan sentiasa dikunjungi pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang berdekatan. Dia dibayar mengikut jam berbanding makan gaji secara bulanan. Jadi ketika belajar dia akan kerap syif petang sehingga kedai tutup di sebelah malam. Walaupun gaji mengikut jam kurang berbanding pendapatan bulanan, Najihah masih mampu menampung kehidupannya. Tambahan pula, sejak dia mula belajar, akaun Maybanknya sentiasa berduit setiap bulan. Menurut kata adiknya, Naimah, emak yang masukkankerana Najihah masih lagi tanggungjawab keluarga walaupun mereka tidak bersua sejak sekian lama. Bantuan kewangan yang diberi oleh emak sedikit sebanyak meringankan beban dia belajar dan bekerja di Kuala Lumpur ini.
Deraian ketawa beberapa orang remaja membuatkan dia teringatkan kedua-dua sahabat yang disayanginya. Keriangan gadis-gadis itu sama seperti yang dialami mereka suatu ketika dahulu. Najihah melihat jam ditangan. Dia tidak merasa pelik dengan Johana yang tidak menepati masa, sama seperti dia belajar di sekolah. Katanya ingin berjumpa jam 4 petang tetapi sudah setengah jam berlalu, Johana masih belum lagi tiba. Berfikir dia bagaimanakah Johana akan memulakan kerjaya sebagai seorang doktor nanti. Dia meneruskan penyususan buku-buku mengikut nombor yang didaftarkan. Seketika kemudian dia meminta jasa baik Kak June yang menjaga kaunter pembayaran untuk menyampaikan mesej bahawa dia keluar ke tandas kalau-kalau Johana tiba-tiba muncul semasa ketiadaannya.
Hendak dijadikan cerita, Johana berselisih seminit sahaja dengan Najihah. Apabila dia sampai Kak June pun menyatakan Najihah ke tandas. Johana terus ke ruang majalah untuk menunggu Najihah di situ. Selepas beberapa helaian, bahunya ditepuk dari belakang.
“Kenapa lambat?” tanya Najihah
“Trafik” kata Johana.
“Kau sesat bawa kereta ke?”
“Tak, naik teksi. Papa aku tak bagi pinjam kereta. Dia sayang sangat kat kereta dia tu. Takut aku tak pandai bawak. Er, kau dah selesai ker belum?”
“Dah habis sejam lalu. Apa mimpi tiba-tiba telefon pagi tadi?”
“Nak ajak tengok wayang kalau-kalau ada cerita menarik. Lepas tu teman aku pergi shopping ok?. Lusa aku dah start kerja. Jadi nak release tension sikit”
“Ok. Kau tunggu kejap. Aku nak ambil barang di belakang.” Kata Najihah lalu masuk ke suatu bahagian di mana ada pintu ke pejabat urusan kedai buku itu. Johana meneruskan pembacaan majalahnya. Tiba-tiba Kak June memanggilnya. Johana melihat ke arah Kak June. Terdapat sepasang lelaki dan perempuan di situ.
“Apa?” sahut Johana
“Meh la sini” lambai Kak June. Johana melangkah ke situ.
“Ni ha, ada orang cari Jia” kata Kak June.
“Hi Jo!” tegur perempuan yang berada di situ. “Ini akulah, Serena”
“Hey Serena” Johana berteriak. “Lama tak jumpa kau. Buat apa sekarang?” Dia memeluk Serena walaupun dia tidak rapat dengan Serena ketika satu sekolah dahulu.
Serena tergelak. “Aku tengah menganggur. Eh, mari aku kenalkan” katanya sambil menarik lengan lelaki di sebelahnya. Orangnya boleh tahan kacak juga. “Ini tunang aku Bazlan” Serena memperkenalkan lelaki itu. “Ini kawan baik Jia, Johana”
“Hello” kata Bazlan. Johana dapati perlakuan Bazlan seolah-olah tidak selesa dengan perkenalan ataupun situasi di situ.
“Mana Najihah?” tanya Serena.
“Di belakang. Kejap lagi dia keluar. Kau datang ni jumpa Jia ker?” soal Johana.
“Tak juga, alang-alang aku ke sini, aku singgah jumpa dia. Oh lagi satu, aku nak kahwin tapi hujung bulan Ogos nanti. Kad pun belum siap lagi. Minta alamat kau. Boleh aku hantar kad jemputan” Serena mencari-cari pen di dalan begnya. Kesempatan itu diambil oleh Bazlan untuk meninjau-ninjau di sekitar kedai buku itu.
Bazlan tahu disinilah tempat Najihah bekerja kerana dia pernah ke sini beberapa kali dahulu menunggu Najihah habis kerja. Bagaimanakah keadaan dia selama ini? Sudah hampir setahun lebih sejak dia tamat pengajian, dia tidak berjumpa dengan Najihah. Ketika di kampus dulu, dia sering juga terserempak dengan Najihah walaupun Najihah cuba melarikan diri apabila dia cuba menegur. Mungkin Najihah tidak dapat memaafkan dirinya kerana memilih Serena walaupun sebelum itu dia bersungguh-sungguh mendapatkan hati Najihah.