BERKALI-KALI Imran memandang ke arah sekumpulan perempuan yang sedang makan di kawasan tempat makan di Jalan Medan Setia yang agak sesak di waktu tengahari itu. Dia baru selesai menjamu selera dengan nasi kari kepala ikan di gerai yang kerap dikunjungi Zainal apabila dia ternampak seorang staf kepada Suhana bersama-sama beberapa orang perempuan lain duduk di gerai tidak jauh dari tempatnya. Selama hampir dua minggu, dia sudah mengenali hampir separuh daripada kesemua pekerja yang kebanyakannya perempuan. Tetapi dia belum pun lagi berjumpa atau berkenalan dengan perempuan yang sedang diperhatikannya itu. Gadis bertudung di pejabat Zainal boleh dibilang dengan jari sebelah tangan sahaja. Pandangannya melekat pada gerak geri gadis yang berbaju kurung pesak bewarna hijau gelap itu.
Diamati perempuan yang seorang itu betul-betul sambil menghirup air minuman perlahan-lahan. Dari pandangan yang jauh dia merasakan seperti pernah berjumpa dengan perempuan itu. Lama dia berfikir. Tidak semena-mena dia seperti dicurah air yang sejuk. Memang tidak syak lagi, orang yang sama. Walaupun hampir seabad, tetapi wajahnya tidak jauh berbeza. Yang berbeza mungkin dia bertudung dan itu yang menyebabkan beberapa kali Imran mencuri pandang untuk membuat pengesahan.
“Apa yang hang tengok sampai macam tu sekali?” Zainal menegur sambil meratah-ratah kepala ikan dihadapannya.
“Itu staff kau Sandra dan Asmah, “ katanya sambil menunjuk ke arah sekumpulan perempuan yang sedang berbual. “Yang bertudung coklat di sebelah dia tu siapa?”
Zainal mencari-cari ke arah yang ditunjukkan. “Oh, kalau tak silap budak praktikal. Budak akaun. Rasanya dah nak habis pun praktikal. Pasai pa hang tanya nih?”
Imran mengangkat matanya. Zainal dapat lihat seperti ada sesuatu yang ingin Imran perkatakan.
“My man, don’t tell me!. She’s not even in your league.”
Imran meletakkan air minuman ke atas meja. “I need a favour from you Nal?” tiba-tiba Imran kelihatan serius.
“Are you serious?”
“We’ll discuss this in the office” pinta Imran sambil menyudahkan air yang diminum. Zainal yang ingin bertanya lagi meneruskan ratahan kepala ikan dan menyimpan soalan-soalan yang berada di fikiran sehingga kembali ke pejabat nanti.
Pada masa yang sama, Kelly adalah orang yang pertama sedar akan ketua mereka yang sedang makan selang beberapa meja.
“Eh you all. Jangan tengok tapi en zainal dan en Imranlah”
“Mana-mana” tanya Sandra sambil mencari-cari kedua-dua orang yang disebutkan. Asmah dan Najihah pun turut mencari.
“Apa la you all ni. Baru jer kata jangan, terus cari. Tu” tunjuknya ke arah belakang Asmah. “Eh they all dah bangun tu”
Ketiga-tiga rakannya mencari –cari lagi. Setelah berjumpa hanya kelibat belakang saja yang kelihatan.
“Aiya, miss lagi I nak tengok en Imran. Tak ada ong langsunglah hari ini” Sandra merungut. Dia terlihat Najihah membuka bekal makan tengahari. “Eh Najihah. You nak makan tapau ker? Hari ni tak payahlah. Kak Asmah belanja. Betuk tak Kak Asmah?”
“Hari ni Kak Asmah belanja semua orang. Tadi dah bagitau pada Sandra dan Kelly. Job yang bulan lepas tu dah dapat payment. Jadi Kak Asmah malas nak tunggu gaji minggu depan nak belanja you all semua. Lagipun Kak Asmah dah ambil cuti seminggu, takut terlupa nak belanja pulak nanti”
“Lama Kak Asmah cuti. Nak pergi melancong ker?” ujar Najihah
“Cuti sekolah. Husband akak ajak balik kampung. Ada kenduri”
“Oo…siapa kahwin kak Asmah?” kali ini Kelly pula bertanya
“Saudara” balas Kak Asmah. “Kena balik tolong-tolong. Lepas tu mungkin ke Pulau Kapas sebab dah dekat sangat. Eh you all orderlah apa yang nak makan. Nanti lambat pulak balik ofis.”
“Biar saya ambil order. Nak makan apa?” tanya Kelly. Masing-masing menyatakan menu yang diingini. Najihah turut meminta nasi goreng ikan masin dan air soya. Sementara menanti makanan dihantar Najihah membuka bekal yang berisi beberapa keping sandwish dan mempersilakan yang lain untuk menjamah sebagai pembuka mulut. Cukup satu sandwish untuk setiap orang.
Ketika masuk ke pejabat sekembalinya dari keluar makan tadi, Nadia menyerahkan sekeping nota kepada Najihah yang terus meneliti setiap perkataan tertulis. Dua kali dia mengulang baca.
“Nota apa tu Najihah?” tanya Kak Asmah.
Najihah menghulurkan nota kecil kepada Asmah. Nota itu meminta Najihah berjumpa dengan en Zainal tepat pukul 3 petang.
“Ini tulisan dan tandatangan en Zainal. Waa..apa pasal pula dia nak jumpa you?” tanya Kelly pelik dengan nota yang ditulis secara peribadi oleh en Zainal.
“Agaknya pasal Jia dah tak lama praktikal di sini atau mungkin pensyarah Jia ada telefon untuk buat appointment nak jumpa dia?” Kata-kata yang dikeluarkan oleh Kak Asmah melegakan sedikit kebimbangan Najihah. Maklumlah, kali pertama dia berjumpa en Zainal ialah ketika dia mula mendaftarkan diri dulu. Itu pun tak sampai sepuluh minit. Kini berdebar-debar juga apabila dapat tahu dia dipanggil mengadap ketua dan juga pemilik syarikat itu.
“Relakslah Jia” kata Sandra apabila melihat Najihah tidak keruan. “Baru kena panggil dah pucat semacam. En Zainal tu oklah. Very understanding”
Najihah hanya mengganguk. Ada hampir sejam lagi untuk dia bersua muka dengan en Zainal, tetapi setiap detik terasa begitu lama. Ajakan Kak Asmah untuk menunaikan solat Zohor sedikit sebanyak mengalih perhatian dari penantian tersebut.
Sepuluh minit sebelum pukul tiga, Najihah muncul di hadapan setiausaha en Zainal. Wani yang melihat kedatangan Najihah terus menekan interkom untuk berhubung dengan en Zainal.
“En Zainal, Najihah. Pukul 3” kata Wani ringkas.
“Suruh dia masuk.” Suara en Zainal kedengaran menerusi intercom di meja Wani.
“Masuklah” ujar Wani.
“Terima kasih”. Najihah mengetuk pintu sebelum masuk.
“Assalamualaikum En Zainal” ucap Najihah
“Waalaikumsalam. Sila duduk Najihah” ajak en Zainal sambil menunjukkan kerusi bertentangan mejanya.
Najihah duduk seperti yang disarankan.
“Bagaimana dengan kerja Najihah setakat ini, ok?”
“Ok en zainal. Banyak juga yang saya dapat disini. Terima kasih kerana beri saya peluang”
Zainal mengangguk-angguk. “Baguslah begitu. Saya pun harap mereka yang buat latihan di sini dapat menimba sebanyak mana yang mungkin. Kalau ikutkan Najihah ada sebulan lebih lagi disini, betul?” tanya Zainal memulakan percakapannya. Pelik sedikit sebab dialog itu seperti yang oleh dicadangkan Imran tadi. “Jadi saya ingat saya nak tukarkan Najihah ke sesuatu yang lebih mencabar. Sekurang-kurangya Najihah dapar perkara baru”
Najihah hanya mendengar.
“Saya nak Najihah bantu en Imran. Dia tengah uruskan portfolia Megah Holdings dan dia perlukan pembantu. Memandangkan kebanyakan perkerja sudah terikat dengan tugasan yang diberikan, saya rasa buat sementara, Najihah saja yang boleh bantu dia. Sekurang-kurangnya Najihah boleh boleh dapat pengalaman yang berlainan dari kebiasaan.”
Lain sikit bunyi ayat yang terakhir itu tetapi permintaan en Zainal membuatkan Najihah sedikit terkejut. Portfolia itu memang menjadi percakapan kebanyakan yang bekerja di situ. En Imran diimport khas semata-mata mengantikan en Bakthiar menunjukkan kepentingan potfolio itu walaupun En Bakhtiar yang sedang cuti sakit mampu mengendalikan potfolio tersebut.
“Najihah boleh lapor diri esok pagi. Petang ni selesaikan apa yang patut” Zainal melihat perubahan pada wajah Najihah. “Is there anything that you want to ask me?”
“En Zainal, saya masih ada lagi beberapa tugas yang Puan Asmah berikan.”
“Hal itu saya akan bincang dengan Asmah.” Zainal lihat Najihah masih seperti memikirkan sesuatu. “Anything else?”
“Tidak ada apa-apa kecuali satu perkara. Pensyarah saya mungkin akan membuat lawatan. Boleh saya tahu siapa…?” ayatnya terhenti. Bagaimana nak tanya ni, soalnya sendiri. “Siapa yang dia akan jumpa? Puan Asmah ker?” diteruskan juga soalan itu.
“Emm…” Zainal berfikir seketika. “Buat masa ini memandangkan awak akan bekerja di bawah Imran, saya rasa biar pensyarah awak jumpa Imran. Dalam hal kerja ketika dengan Asmah, saya akan minta Asmah laporkan kepada Imran” Walaupun tidak bersetuju, Najihah hanya mampu tersenyum dan mengangguk.
“Terima kasih, En Zainal” Najihah bangun dan menuju ke luar dari bilik En Zainal. Apa lagi yang boleh dia buat. Itu ketua yang paling besar. Walaupun dia lebih suka jika Kak Asmah yang berjumpa dengan pensyarahnya, arahan ketua syarikat tidak dapat dipersoalkan lagi. Terpaksalah dia menyerahkan keputusan praktikalnya di tangan seorang lelaki yang belum dikenalinya iaitu En Imran.
Zainal memerhati Najihah keluar. Gadis itu sederhana orangnya. Kalau dilihat, tidak ada apa yang menarik tentang Najihah. Terlalu kurus untuk seorang perempuan kalau diikutkan citarasa Zainal. Dengan berbaju kurung dan tiada secalit mekap langsung seperti mana-mana perempuan yang dikenalinya. Kalau gadis seperti Najihah lalu dihadapannya, tidak mungkin dia akan pandang buat kali kedua. Walaubagaimanapun, ketika berdepan dengan Najihah sebentar tadi, dia sedikit terpegun juga dengan rupa paras Najihah yang putih gebu. Gadis seperti Najihah bukan berada dalam kategori perempuan cantik tetapi ada sesuatu yang menarik tentang wajahnya. Tidak disangka disebalik tudung yang sedikit menutup wajahnya itu, terpapar sepasang mata yang cukup mengkagumkan. Kalau dipandang lama-lama boleh tenggelam juga dia dengan pandangan mata Najihah. Mata keanak-anakan itu lebih besar berbanding mukanya yang kecil bujur sirih itu. Bagi lelaki, hanya ada beberapa bahagian wanita yang disukai tetapi ketika bebual dengan Najihah, buat pertama kali Zainal memasukkan mata sebagai kriteria yang agak penting juga bagi seorang lelaki. Ditambah pula dengan bibir basah yang sedikit tebal di bahagian atas dan pipi yang tinggi takala Najihah tersenyum. Setelah berdepan dengan Najihah, Zainal terus mengakui tarikan semulajadi Najihah. Agaknya itulah yang dilihat oleh Imran, bisik hati kecil Zainal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
IMRAN membiarkan televisyen bersiaran tanpa suara dan mencapai mug berisi air kopi yang dibancuh sebentar tadi. Esok adalah pertemuan pertama dengan perempuan yang bertanggungjawab terhadap kematian Haikal. Satu-satunya adik lelaki yang merupakan pengikat pertalian di antara dia, Papa, Haris dan Mama Zahra. Imran masih ingat lagi jika ada sesiapa yang membuli Haikal pasti akan mendapat penangan daripada dia dan Haris. Betapa mereka berdua suka melindungi Haikal daripada sebarang masalah walaupun mereka berdua tahu yang penimbul masalah sebenar adalah Haikal sendiri. Namun begitu, kerana kesibukan kerja dan pelajaran masing-masing, mereka tidak dapat melindungi Haikal dari kemalangan yang meragut nyawanya. Semuanya kerana seorang gadis yang bernama Najihah.
Sebelum peristiwa itu, Imran sedang menjalani kehidupan yang normal di Kota London dan sedang membina kerjayanya di sebuah syarikat kewangan yang ternama. Panggilan telefon daripada Haris tentang kemalangan Haikal memberi kesan yang amat mendalam dan sepanjang penerbangan dia tidak bercakap dengan sesiapa pun. Sesampainya di Malaysia, dia memang terlewat untuk menatap wajah adiknya buat kali terakhir kerana jenazah perlu dikebumikan segera.
Imran teringat keadaan Mama yang terkujur baring di hospital akibat terkejut keterlaluan sehinggakan lumpuh separuh badan. Papa pula seperti tidak mahu berjumpa sesiapa dan hanya menemani Mama siang dan malam. Mujur ada Haris yang bertindak seperti ketua keluarga dan menguruskan apa yang patut. Dia sendiri pun terlalu penat untuk membantu.Berita kematian Haikal dan penerbangan jarak jauh, kedua-duanya begitu memenatkan sehingga dia sendiri tertidur di sofa hospital untuk beberapa jam lamanya.
Selepas selesai majlis tahlil pada malam terakhir, masing-masing menyendiri dengan kesedihan dan kehilangan Haikal. Melalui perbualan ahli keluarga yang hadir, Imran dapat tahu berlaku pergaduhan antara papa dan Haikal berkaitan seorang gadis. Tiada seorang pun yang mahu bercerita. Haris yang tahu menahu tentang pertengkaran itu tidak mahu buka mulut. Selang beberapa hari, barulah Haris mula bercerita tentang kejadian yang menimpa tetapi cerita Haris seperti tidak lengkap. Imran tidak puas hati dan mula menanya saudara mara yang lain. Cerita yang lebih terperinci datang daripada seorang sepupu yang rapat dengan Haikal. Akhirnya, Imran dapat dengan jelas cerita yang dicarinya.
Dari situ dia mula merancang. Gadis yang disebutkan perlu mendapat pembalasan atas apa yang telah dilakukan. Pada mulanya dia ingin mengajak Haris supaya turut serta tetapi kesibukan Haris menguruskan perniagaan bagi pihak Papa serta tumpuan kepada Mama menyebabkan dia beralih kepada mereka yang lebih rapat dengan Haikal. Dua orang sepupu yang boleh dipercayai bersetuju untuk turut serta dalam rancanganya. Mereka dibantu oleh seoirang lagi rakan Haikal. Berbekalkan kemewahan dan hubungan tertentu, dia akhirnya berjaya membalas dendam terhadap perempuan yang bernama Najihah. Puas rasa hatinya melihat perempuan itu seperti tidak tentu arah ketika itu.
Imran menghirup kopi yang sudah sejuk. Tidak sabar rasanya dia berhadapan dengan perempuan itu kembali.
isk..tak sabau la nak tunggu sambungannya
ReplyDeletedashyat2x............
ReplyDeletecepat2 sambung....
best laaaaaaa
xleh tdo mlm nih...=)
kurang hajar ko imrammmm...cishhhh
ReplyDeletenexttttttttttttttttt
-jia jgk-