Thursday, 17 November 2011

Jia - 5

Rosmah dan suaminya Abdul Karim baru melangkah keluar dari Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Dairy selepas mengikuti kursus Haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji untuk bakal jemaah Malaysia untuk tahun ini. Kalau tiada aral yang melintang, hujung tahun ini mereka akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadat yang  diamanahkan kepada umat manusia yang berkemampuan. Rosmah guru sekolah rendah manakala suaminya pula guru sekolah menengah.. Potongan gaji bulanan untuk dimasukkan ke Tabung Haji sehingga  usia yang sudah lewat 40an baru dia dan suaminya mampu untuk mengerjakan Haji. Anaknya yang kedua akan berkahwin tidak lama lagi manakala yang bongsu pula sudah pun berada di Universiti Sains Malaysia.
Rosmah ada tiga anak perempuan. Kadang-kadang dia terkilan kerana tidak dikurniakan anak lelaki.. Walaupun dia mengandung hampir tujuh kali, hanya tiga yang selamat. Empat lagi keguguran. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Rosmah teringat anak sulung yang sudah lama tidak berjumpa. Sebelum dia ke Mekah dia ingin sekali mencium anaknya yang seorang itu. Air mata mengalir kerana sangat merindui anaknya.
“Bila Angah nak ikut Basir ke KL” tanya suaminya.
“Dua tiga minggu lagi bang” Rosmah cepat-cepat mengelap air mata dan mengawal nada suara agar tidak di ketahui oleh suaminya akan perasaannya ketika itu.
“Mah, tolong nasihatkan sikit Angah tu supaya jaga diri dia. Abang tahu dia pergi dengan Husin laki bini, tapi jangan sampai dia malukan kita nanti” pesan suaminya lagi.
“Angah tu kan budak baik bang. Kita pun dah kenal Basir sekeluarga dah lama”
“Abang nak Mah ingatkan dia saja. Jangan lupa jaga nama baik kita”
“Yelah bang. Nanti Mah cakap dengan dia”
Rosmah masuk ke dalam perut kereta. Suaminya sampai sekarang cukup berhati-hati dan kuat mengawal kedua-dua anak perempuanya kerana tidak mahu perkara yang menimpa anak sulung mereka berulang lagi. Kesian dia dengan anak-anaknya itu ketika meraka remaja. Payah juga untuk mendapatkan kebenaran walaupun untuk masuk acara perkhemahan yang dianjurkan sekolah. Disiplin yang dikenakan pada anak-anak cukup ketat sekali. Bukan setakat di rumah, ada juga kawan-kawan guru suaminya menceritakan yang pelajar-pelajar di sekolah paling takut dengan suaminya daripada guru disiplin.
Semuanya disebabkan oleh anak sulung mereka. Apa yang berlaku telah menjadi pengajaran kepada kedua-dua suami isteri. Pada mulanya ada ibubapa yang sangsi dengan kemampuan mereka. Maklumlah, anak sendiri telah menconteng arang ke muka, inikan pula ingin mengajar anak orang lain.Baru mereka kenal siapa kawan dan siapa lawan, tetapi itu tidak mematahkan semangat mereka mendidik anak-anak mereka dan pelajar sekolah. Kini, setelah sekian lama perkara itu berlaku, orang sudah mula lupa dan kehidupan mereka mula ceria.
Semuanya seperti berjalan dengan lancar. Mereka akan ke Mekah, Naimah akan berkahwin dan Najwa akan tamat pelajarannya. Rosmah masih lagi menyimpan niat untuk berjumpa Najihah. Kalau boleh dia ingin jumpa anaknya itu ketika majlis perkahwinan Naimah nanti. Kalau Najihah datang, dia tak akan ambil kisah langsung buah mulut orang. Apa yang penting, rindu pada anaknya itu akan terlerai.
Rosmah masuk ke dalam kereta meninggalkan masjid. Doanya masih di ucapkan di hati. Harap-harap niatnya akan dimakbulkan nanti.

2 comments: