Thursday, 1 December 2011

Jia - 12

Imran masih tertunggu-tunggu makan tengahari yang dikirim melalui Najihah. Zainal bekerja di luar pejabat manakala Suhana tidak pula muncul-muncul sehingga jam dua belas tengahari tadi. Kebiasaannya waktu itulah dia menjelmakan diri untuk mengajak Imran keluar makan. Nampaknya hari ini dia mungkin sibuk atau ada hal tertentu yang lebih penting. Imran agak malas untuk keluar makan bersendirian. Tambahan pula dia perlu menyelesaikan beberapa perkara yang berhubugan dengan Megah Holdings. Oleh itu, dia meminta Najihah untuk membungkuskan sandwish Subway sebentar tadi. Muka Najihah seperti tidak puas hati bila diarah begitu, tapi dibiarkan saja. Barulah dia perasan yang dia tidak memberi wang belanja untuk sandwish tersebut. Patutlah perempuan itu masam semacam.
Lambat betul dia kali ini. Hari ini masuk minggu ketiga Najihah bekerja dibawahnya. Setiap arahan dan tugas yang diberikan oleh Imran dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Kalau dulu sukar mencari Najihah di sebelah petang, kali ini apabila Najihah tidak berada dimejanya, keadaan sama saja. Dia mengingatkan dirinya untuk mendapatkan nombor Najihah sebentar lagi.
Belum pun sempat Najihah menyerahkan bungkusan makanan, Imran sudah berleter.
“Awak ke mana? Buat sandwish ke beli sandwish”
Najihah hanya mendiamkan diri.
“Lain kali, kalau saya suruh buat sesuatu, terus buat. Jangan nak berlengah pulak. Nak ambil duit nih” Imran menghulurkan wang kertas lima puluh ringgit. Najihah diam dan tidak menghiraukan duit tersebut.
Are you dumb?” soal Imran.
Berdesing anak telinga Najihah dengan pertanyaan itu. Lelaki ini tak tahukah betapa dia berasak di dalam lif, berjalan ke Subway dan beratur panjang hanya untuk membeli makan tengahari untuknya. Tak tahu nak ucap terima kasih, lagi dikatakan aku ni bodoh. Malas dia melawan cakap. Perutnya juga belum berisi lagi.
“Ada apa-apa lagi ker Encik Imran?”
Imran sudah dapat menjangka jawapan Najihah. Dari mula sampai sekarang, itulah ayat kegemarannya. “Take the money. Use the change for next time
Najihah menurut. Dia mengambil duit yang berada di atas meja Imran. Ditukarkannya dengan resit pembelian. Imran hanya melihat gelagat Najihah.
“Apa nombor telefon awak?”
Najihah membulatkan matanya dengan pertanyaan Imran. “Nombor handphone” ulang Imran.
“Saya tak ada handphone”
What?” terkejut Imran mendengar. “Budak tadika pun dah pakai handphone, takkan budak universiti pun tak mampu nak beli satu”
Najihah malas ambil kisah sindiran Imran. “kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu dan saya memang tak mampu nak beli handphone” dengan itu dia berlalu keluar.
Imran tercengang. Betulkah Najihah tidak mampu atau hanya alasan untuk tidak memberikan nombor telefonnya. Imran pantas keluar untuk mendapatkan kepastian. Najihah ketika itu sedang membuka bekal makan tengaharinya. Imran terpandang beberapa keping roti didalamnya.
Najihah tahu Imran sedang memerhatikanya. Sambil tangannya mencapai sekeping roti dia menatap komputer untuk memeriksa laporan yang ditaipnya sebelum keluar tadi. Dari ekor mata, dia dapat melihat Imran kembali masuk ke biliknya. Najihah rasa lega. Bolehlah dia makan dengan aman sekali. Air kosong dari tumbler diteguknya berkali-kali. Ketika itu juga dia dapati Imran melangkah keluar melalui biliknya.
“Ambil telefon ini” Imran meletakkan sebuah telefon bimbit ke atas meja. Najihah tersedak air yang diminum. Dia batuk beberapa kali. Dadanya ditepuk-tepuk untuk meredakan batuk.
“Buat apa En Imran. Saya tak perlu telefonlah” katanya tegas.
“Tapi saya perlu. Susah betul nak cari awak. Ini private line saya. Saya ada dua. Buat sementara, awak pakai phone ni.”
Najihah keresahan. “Saya rasa tak payahlah”. Dia menolak telefon itu ke depan. “Saya tak biasa” katanya terus terang.
Take it” kali ini tegas suara Imran. Najihah berbelah bagi. Ah…lantaklah.
“Ok. Saya ambil, tapi kalau rosak, jangan salahkan saya”.
Imran mendengus dan berlalu. Najihah melihat telefon di depan mata. Bukan calang-calang handphone ni, bisik hatinya. Silap-silap ini ialah Iphone yang selalu dia lihat dalam iklan suratkhabar. Malas betullah dia nak bawa handphone ni. Nampak gaya, terpaksalah dia korbankan sedikit duit simpanannya untuk mendapatkan satu telefon bimbit. Soal telefon dia boleh dapat yang murah tapi dalam sebulan dua ini terpaksalah dia lebih sikit guna duit untuk kad prabayar.  Dia menghitung-hitung dikepala sambil menelan sekeping lagi roti yang hanya berintikan planta dan gula.

2 comments:

  1. bla la nk kuar dlm bentuk buku ni..lmbtnya ninakam! x sabar ni
    -jia jgk-

    ReplyDelete
  2. tulah cepat lah keluarkan dalam bentuk buku.. lebih feel kalau baca kat buku daripada online...

    JIA ooo JIA....

    Atir

    ReplyDelete